Ayah hilang selepas pergi kenduri

Mohd Noor Mohamed
Mohd Noor Mohamed
A
A
A

REMBAU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki di sini meminta bantuan orang ramai bagi mengesan ayahnya yang hilang sejak tiga hari lepas.

Muhammad Haikal Mohd Noor, 22, berkata, kali terakhir ayahnya, Mohd Noor Mohamed, 64, dilihat ketika menghadiri kenduri di Kampung Kerinchi, Bangsar di Kuala Lumpur.

Menurutnya, ayahnya memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna merah secara sendirian ke majlis berkenaan pada jam 10 pagi Sabtu kerana ibu tidak sihat.

"Difahamkan abah selamat tiba di lokasi dan pulang menghala ke Rembau sekitar jam 4.15 petang pada hari sama.

"Sehingga jam 11 malam abah tidak muncul di rumah dan saya bertanya pada ibu jika abah bermalam di sana, tetapi ibu menafikannya.

"Saya ada menghubungi individu di majlis berkenaan berikutan telefon bimbit abah rosak dan mereka menjelaskan abah sudah balik sejak petang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, bimbang akan keselamatan bapanya itu, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Pedas pada Ahad.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kereta abah saya diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi kami di talian 011-40107822 atau 017-3847574," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes orang hilang dan ia dirujuk di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur susulan mangsa kali terakhir dilihat keluarga semasa di majlis kenduri di Kampung Kerinchi.