KKM naik taraf fasiliti KK, hospital Simunjan

Khairy Jamaluddin bergambar bersama para petugas Hospital Simunjan ketika melawat hospital itu pada Isnin. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin bergambar bersama para petugas Hospital Simunjan ketika melawat hospital itu pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SIMUNJAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan segera menaik taraf fasiliti di Klinik Kesihatan (KK) Semera dan KK Sadong Jaya serta Hospital Simunjan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu bagi mengatasi masalah dihadapi oleh klinik kesihatan serta hospital yang daif dan tidak selamat di Sarawak.

"Untuk perancangan jangka pendek di KK Semera, kita (kementerian) akan menyediakan sebuah kabin yang selesa dan berhawa dingin supaya tidak mengganggu perkhidmatan kesihatan di klinik, ia juga untuk menggantikan bangunan wad bersalin yang telah disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya.

"KK Semera yang dibina pada 1978 merupakan antara klinik kesihatan yang paling daif," katanya pada sidang media di Hospital Simunjan di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Khairy berkata, bagi KK Sadong Jaya pula, bilik rawatan kecemasan klinik itu akan dinaik taraf segera bagi menampung pesakit yang kian bertambah selain penyediaan sebuah set generator untuk mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku.

"Bagi Hospital Simunjan, ia melibatkan pembinaan wad kanak-kanak baharu untuk menggantikan wad sedia ada yang tidak selamat akibat mendapan tanah.

"Oleh itu, kajian tanah akan dijalankan sebelum pembinaan bermula bagi memastikan struktur baharu bangunan tidak mengalami masalah sama," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: