Isu beg berat: Lokar mula dipasang hujung bulan ini

Mohd Radzi Md Jidin
Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI]Lokar sekolah untuk kegunaan murid bagi mengatasi isu beg berat akan mula dipasang pada penghujung bulan ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, tumpuan diberikan terhadap sekolah yang mempunyai dua sesi persekolahan.

"Sebagai permulaan fasa pertama, pemasangan lokar itu melibatkan murid tahun satu dan dua," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis libat utus bersama editor kanan agensi media di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan tujuh inisiatif KPM dalam menangani isu tersebut.

Pada Mac lalu, Mohd Radzi menyenaraikan tujuh inisiatif meringankan beg sekolah iaitu penyediaan lokar, penyusunan semula jadual waktu sehingga empat mata pelajaran sehari dan buku latihan tidak lebih dua buah serta buku teks digital.

Selain itu guru turut digalakkan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bertema atau modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks dan penggunaan uniform sekolah kebangsaan dibenarkan bagi sesi persekolahan kelas agama fardu ain (KAFA).

Dalam majlis itu, Mohd Radzi berkata, rata-rata majlis agama negeri bersetuju agar pakaian seragam sekolah kebangsaan digunakan bagi sekolah KAFA.

"Murid-murid tidak perlu lagi bawa uniform sekolah KAFA," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada perkembangan lain, Mohd Radzi berkata, kementerian sedang memperkasakan sekolah harian yang mempunyai kapasiti rendah dalam menangani isu kesesakan di sesebuah sekolah terutamanya sekolah berprestasi lebih baik.

"Kita lihat bahawa ketidakseimbangan berlaku apabila ada sekolah lebih baik di kawasan berhampiran," katanya.

Antara langkah yang diambil KPM, beliau berkata KPM sedang melaksanakan pergerakan guru besar dan pengetua dari sekolah berprestasi lebih baik.

"Ia turut melibatkan guru-guru bagus agar mewujudkan suasana lebih bersemangat (vibrant)," katanya.