Kafa tunggu surat rasmi

Datuk Seri Afandi Hamzah
Datuk Seri Afandi Hamzah
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) sedang menunggu surat rasmi daripada syarikat MyInspiration Sdn Bhd susulan pembatalan perjanjian kerjasama antara Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd dan pihaknya dalam menguruskan pasukan bola sepak Kelantan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, setakat ini pihaknya hanya mendapat makluman mengenai pembatalan perjanjian yang tidak sampai tiga bulan itu menerusi laman sosial dan laporan akhbar.

Terdahulu, usaha media untuk mendapatkan reaksi Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan tidak mendapat maklum balas sewajarnya sebaliknya beliau meminta soalan tersebut dikemukakan kepada Afandi bagi menjawab perkembangan terkini mengenai kemelut terbaharu melanda bola sepak Kelantan itu.

"Saya difahamkan ada kenyataan daripada pihak tertentu dan apa yang saya boleh beritahu buat masa ini Kafa tunggu sahaja sebarang surat atau apa-apa perkara berkaitan secara rasmi.

"Apa-apa cara sekalipun, kalau nak batalkan (perjanjian) kena melalui proses atau prosedur sepatutnya, ertinya perkara yang dinyatakan itu tidak cukup, perlu ada surat secara bertulis kepada kami," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, MyInspiration Sdn Bhd yang memiliki 70 peratus kepentingan saham dalam KRW Sdn Bhd mengumumkan pembatalan perjanjian dengan Kafa berkuatkuasa serta-merta setelah mendakwa badan induk bola sepak Kelantan itu gagal mematuhi terma kontrak yang ditandatangani, pada 24 Januari lalu.

Keputusan mengejut itu menyaksikan MyInspiration Sdn Bhd bakal menyerahkan semula KRW Sdn Bhd kepada pemilik asalnya iaitu Bibi Ramjani yang mempunyai 30 peratus saham dalam syarikat berkenaan.

Pembatalan perjanjian itu dibuat setelah Kafa didakwa gagal mematuhi terma perjanjian berhubung penyerahan kuasa penuh selain gagal menyerahkan dokumen penting termasuk akaun bank, buku cek kepada KRW Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Tegas Afandi lagi, masih terlalu awal bagi Kafa untuk mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung perkara tersebut selagi belum menerima permohonan rasmi daripada pihak berkenaan.

"Setelah terima baharulah kita akan buat kenyataan rasmi. Saya sedar perkara ini sudah heboh di laman sosial tetapi selagi Kafa belum terima surat rasmi kita tidak akan beri kenyataan media," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MyInspiration Sdn Bhd, Ahmad Fazli Mohammad ketika dihubungi menjelaskan, peguam syarikatnya telah menghantar surat menerusi e-mel kepada Kafa, kelmarin.

"Bagaimanapun semalam pihak kami juga menghantar surat dalam bentuk hard copy menggunakan kiriman pos. Apa-apa selepas ini mereka boleh rujuk peguam kami," katanya.