Sokongan penyokong bantu Selangor raih keputusan positif

Antara aksi Selangor menentang JDT di Stadium MBPJ, pada Sabtu.
Antara aksi Selangor menentang JDT di Stadium MBPJ, pada Sabtu.
A
A
A

SOKONGAN padu penyokong disifatkan antara kunci kepada keputusan positif dilakar Selangor FC ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Pembandaran Petaling Jaya (MBPJ), pada Sabtu.

Perkara tersebut diakui sendiri pengendali sementara Selangor FC, Mohamad Nidzam Jamil yang berterima kasih kepada penyokong gergasi merah sambil berharap sikap tersebut diteruskan dalam perlawanan seterusnya.

Kata beliau, sorakan penyokong sangat penting bagi mengembalikan keyakinan mereka terhadap pasukan Selangor FC yang dilihat sedikit kembali menemui rentak biarpun belum pada tahap maksimum.

“Penyokong, penyokong. Kita tidak mahu kecewakan penyokong. Mereka sangat penting untuk kami dan kami akan main untuk mereka.

“Pasukan ini bukan mengenai saya tetapi mengenai penyokong. Ia mengenai bagaimana kita mahu menukar latihan kepada perlawanan untuk mendapatkan keputusan dengan prestasi baik.

“Saya percaya pemain-pemain buat yang terbaik untuk penyokong dan saya harap sikap baik ini dapat membina keyakinan penyokong untuk kembali berada di belakang kami,”katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Ketika aksi tersebut, JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi sepakan penalti disempurnakan oleh penyerang sensasi mereka iaitu Bergson da Silva.

Bagaimanapun, Selangor bangkit pada separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-64 meneruskan kedudukan menerusi Herlisan Caion sekali gus meranapkan impian JDT untuk mengutip tiga mata penuh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nidzam memuji barisan pertahanannya yang kental bertahan mengasak serangan lawan.

Meskipun mengakui ia bukan satu tugas mudah untuk menahan asakan barisan serangan namun, mereka berjaya melakukan tugas dengan sebaiknya.

“Ya, barisan empat pertahanan beraksi dengan baik. Bukan mudah nak jaga Arif Aiman, Safawi Rasid dan Fernando Forestieri.

“Untuk pemain yang baru berusia 20 tahun ia cukup bagus bagi saya. Saya cukup gembira dengan prestasi Ahmad Zikri," katanya.