Anwar gesa KPN henti tekanan terhadap Rafizi

Laporan Sinar Harian pada Sabtu
Laporan Sinar Harian pada Sabtu
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani untuk segera menghentikan segala bentuk tekanan terhadap Timbalannya, Rafizi Ramli dalam siasatan berhubung skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas telefon bimbit milik Rafizi untuk tujuan siasatan berkait kes tersebut disifatkan sebagai agak keterlaluan.

“Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau dalam menentang gejala rasuah di negara ini seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam Himpunan Turun.

“Pihak polis juga harus berlaku adil dalam hal ini termasuk menyiasat Datuk Dr Abd Latiff Ahmad kerana laporan polis terhadap beliau turut dibuat tempoh hari.

“Harus diingat amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan dikenakan,” katanya menerusi kenyataan di hantaran Facebooknya pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan bahawa polis merampas telefon bimbit milik Rafizi untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan mengenai projek LCS membabitkan Dr Abd Latiff yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

Ia selepas Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat terhadapanya.

Menerusi laporan dibuat oleh pegawai khas Dr Abd Latiff itu, Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada tarikh 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan itu, Rafizi dikatakan membuat fitnah kononnya Dr Abd Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

Dalam pada itu, Abd Latiff pada Jumaat lalu memaklumkan polis sudah merakamkan keterangannya berhubung kes tersebut.

Katanya, polis mengambil keterangan beliau susulan daripada laporan polis yang dibuat melalui pegawai khasnya terhadap Rafizi.