Muhyiddin dakwa Anwar tidak bertanggungjawab, gadai kedaulatan negara

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuntutan bertindih China di Laut China Selatan sebagai tidak bertanggungjawab selain menggadai maruah serta kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kenyataan tersebut juga cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.

Malah Muhyiddin mendakwa, implikasi daripada tindakan tersebut secara tidak langsung memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah menjadi wilayah Malaysia.

"Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan bagi melindungi hak dan tuntutan negara.

"Kenyataan Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara.

"Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen adalah amat lemah, tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Sebelum ini Anwar ketika sidang Dewan Rakyat memaklumkan, Petronas akan terus melaksanakan kerja-kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan, namun menjelaskan kerajaan masih terbuka untuk rundingan sekiranya China merasakan kawasan berkenaan adalah wilayah negara berkenaan.

Dalam pada itu Muhyiddin turut mendakwa, kawasan cari gali Petronas yang dirujuk oleh Ahli Parlimen Tambun itu merupakan dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh China.

Pada hemat bekas Perdana Menteri itu, Anwar sepatutnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.

"Sehingga kini, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan. Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia.

"Berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct.

"Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan 10 buah negara, Malaysia mesti menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN," tegasnya.