BN bergerak solo bukan muktamad

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR – Pendirian Barisan Nasional (BN) untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum muktamad memandangkan dinamik politik sering berubah-ubah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, keputusan terakhir akan dimuktamadkan mengikut kesesuaian situasi semasa selain kecenderungan untuk memenangi PRU15.

Menurutnya, pendirian untuk BN bersendirian menghadapi PRU15 setakat hari ini kekal namun tidak menolak kemungkian ia berubah pada saat akhir.

“Setakat ini parti telah pun buat keputusan BN akan bergerak solo. Itu setakat hari inilah sebab politik ini kadang-kadang ia tidak statik. Jadi ini belum kita putuskan lagi.

“Boleh jadi esok, ada pula pandangan kita macam lain dan kita akan ubah suai mengikut situasi, yang pentingnya kita nak menang. Bagaimana nak menang? Menerusi strategi dan taktikal kita,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya dan pimpinan Bahagian UMNO Kedah di sini pada Sabtu.

Mohamad berkata, untuk sebarang kemungkinan itu juga, UMNO kini sedang melakukan penilaian kedudukan parti itu di setiap negeri bagi memantau kesiapsiagaan jentera BN menerusi siri jelajah sehingga pertengahan Ogos depan.

“Kita buat laporan dalaman parti kita dulu. Baru kita lihat bagaimana keadaannya, kedudukan setiap negeri tersebut menerusi kajian terperinci. Apa yang perlu kita buat di setiap negeri dan pendekatan berbeza-beza sebab politik sekarang tak boleh macam dulu lagi.

“Contohnya di Kedah, sekejap Pas menang, sekejap BN menang, susah nak cakap. Namun daripada pengamatan saya, jentera dan gerak kerja parti kemukakan strategi yang meyakinkan namun kita perlu berhati-hatilah elak tersilap langkah,” katanya.

Menurutnya lagi, kesiapsiagaan dan strategi-strategi yang akan dilaksanakan oleh UMNO Bahagian di Kedah dan Perlis memuaskan hati dan menunjukkan mereka bersedia sekiranya diadakan PRU15.

“Kita akan pergi setiap negeri untuk buat penilaian setiap kawasan dan akan tengok kemungkinan menang atau kalah di kawasan tersebut. Kita mesti cungkil dan terokai supaya jangan terlepas pandang perkara-perkara penting yang menyebabkan kita tersalah langkah,” katanya lagi.

Mohamad memberitahu, laporan setiap UMNO Bahagian akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan sama ada UMNO sudah bersedia atau sebaliknya untuk menghadapi PRU15.

“Ramai orang kata mahu adakan PRU15, tetapi parti sudah bersediakah belum? Inilah laporan yang akan menyatakan kesediaan parti, supaya kita jangan tersalah langkah. Pemilihan calon belum kita bincang lagi,” katanya.

Menurutnya, selepas Perlis dan Kedah, siri jelajah akan diteruskan ke Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak sehingga selesai semua negeri.