Isham Jalil persoal kelayakan Abdul Hadi bercakap wakili Pas

Tangkap layar hantaran Isham Jalil di Facebook beliau pada Sabtu.
Tangkap layar hantaran Isham Jalil di Facebook beliau pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mempersoalkan 'kelayakan' Tan Sri Abdul Hadi Awang bercakap mewakili Pas kerana memenangi jawatan Presiden parti itu tanpa bertanding.

Isham berkata, ia susulan pendirian Ahli Parlimen Marang bahawa kenyataan yang dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai Muafakat Nasional (MN) yang tidak mewakili UMNO.

Menurutnya, Abdul Hadi tidak perlu menghina Ahmad Zahid yang menang pemilihan jawatan tertinggi UMNO dengan sokongan majoriti perwakilan dengan sebegitu rupa.

"Beliau adalah orang yang mendapat mandat tertinggi untuk bersuara mewakili UMNO dan membuat keputusan parti. Ini asas dalam sistem demokrasi. Bila kamu hina beliau, bermakna kamu juga hina majoriti ahli UMNO yang undi dan pilih beliau sebagai Presiden.

"Kamu pula menang tanpa bertanding, entah dapat mandat ataupun tidak, wallahuaklam (Allah sahaja yang tahu)," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Abdul Hadi dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Pas Ke-68 di Kedah pada Jumaat dilaporkan berkata, dakwaan Ahmad Zahid bahawa UMNO bergerak solo tanpa MN kerana Pas menawarkan kerjasama politik dangkal sebagai tidak mewakili parti UMNO.

Sebelum itu Ahmad Zahid berkata, UMNO perlu bergerak secara solo antara lain kerana tidak dapat menjalin kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN terutama selepas Pas menjalin hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan UMNO dari luar dan dalam.

Justeru, Isham menyindir Abdul Hadi dengan meminta beliau menamakan individu yang boleh bercakap bagi pihak UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikut logik, kamu pun tidak boleh cakap mewakili Pas. Kalau Ahmad Zahid tidak boleh cakap mewakili UMNO, kamu mahu siapa yang boleh bercakap mewakili UMNO?," soalnya.

Isham menegaskan, UMNO sebelum ini memang mahukan MN bersama Pas, namun tidak sampai setahun selepas itu, parti itu meninggalkan mereka dan bekerjasama dengan pengkhianat UMNO (Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu) serta memberikan kerusi sebagai syarat bekerjasama dalam MN.

“Bagaimana akar umbi UMNO mahu percaya kamu lagi? Kini UMNO telah buat keputusan akan pergi solo dalam pilihan raya tanpa MN. Rata-rata akar umbi UMNO telah bersetuju.

“Lihat sahaja dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini. Presiden telah mendapat mandat akar umbi supaya pilihan raya tidak ditangguh, BN pergi solo dan menolak kerjasama dengan pengkhianat.

“Kamu pula ingin pikul pengkhianat dan masih mahu paksa UMNO terima pengkhianat. Kami tidak akan ikut kemahuan serakah kamu,” ujar beliau.