Pas beri laluan kepada Bersatu tawan kerusi UMNO di Kelantan

Mohd Amar semasa sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2023 di Pusat Tarbiyah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.
Mohd Amar semasa sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2023 di Pusat Tarbiyah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas Kelantan memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menawan kerusi yang dimenangi UMNO sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perkara tersebut merupakan asas perbincangan pihaknya sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.

"Bersatu bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO, Pas tanding di kerusi Pas sudah menang.

"Cuma di peringkat negeri ada sedikit ubah suai di peringkat akhir," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu beliau merasmikan Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2023 di Pusat Tarbiyah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa di sini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar memberitahu, setiap kali pilihan raya, Pas akan menampilkan 30 peratus muka baharu untuk dipertandingkan.

Ujarnya, ia tidak semestinya melibatkan golongan muda tetapi muka baharu.

"Ia merupakan amalan biasa yang kita buat setiap kali pilihan raya.

"Kami sudah mempunyai senarai calon cuma hendak disenarai pendekkan sahaja," katanya.

Tambah beliau, semua nama calon di Kelantan sudah ada di tangan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, jadi serah pada beliau untuk memilih siapa.

Menurut Mohd Amar, setiap kerusi akan mempunyai tiga calon.