Warga emas maut dilanggar suami


Mangsa meninggal dunia akibat dilanggar kereta dipandu suami dalam kejadian di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Kota Kuala Muda, Kedah. - Foto PDRM
Mangsa meninggal dunia akibat dilanggar kereta dipandu suami dalam kejadian di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Kota Kuala Muda, Kedah. - Foto PDRM
A
A
A

KOTA KUALA MUDA - Warga emas yang maut dilanggar kereta dipandu suaminya, di Kampung Bukit Tukang Jusoh di sini dikatakan baharu sahaja bersalaman dan memohon maaf dengan jiran sekampung sebelum meninggal dunia.

Che Puteh Ismail, 69, berkata, baharu beberapa minit dia bersembang dengan mangsa, Saadiah Saad, 69, ketika wanita itu berjalan melalui kawasan rumahnya untuk menuju ke kereta sebaik selesai menghadiri majlis perkahwinan berdekatan, kira-kira jam 3 petang Sabtu.

Menurutnya, semasa berada di dalam rumah, dia ternampak mangsa berjalan menuju ke kereta suaminya, lalu keluar dari rumah untuk bertegur sapa dan bersalaman.

"Rumahnya tidak jauh dari sini, kira-kira dua kilometer sahaja, kami saling mengenali tetapi jarang jumpa, dia salam dan minta maaf, sebab katanya tumpang letak kereta depan rumah, kami bersembang seketika sebelum saya masuk ke dalam semula," katanya.

Selang beberapa minit, Che Puteh terdengar bunyi deruman enjin kereta yang terlalu kuat menyebabkannya berlari ke luar melihat apa yang berlaku.

"Kami sangkakan cucu kena langgar tetapi rupa-rupanya, Saadiah dah terperosok ke bawah kereta," jelasnya.

Melihatkan keadaan menjadi cemas, anak Che Puteh, Zaini Hashim, 41, segera mematikan enjin kereta jenis Proton Saga yang dipandu suami mangsa berusia 76 tahun.

Artikel Berkaitan:

Che Puteh dan anaknya, Zaini menceritakan tentang kejadian yang berlaku di hadapan rumah mereka.
Che Puteh dan anaknya, Zaini menceritakan tentang kejadian yang berlaku di hadapan rumah mereka.

"Kejadian berlaku sekelip mata, macam tak percaya," jelasnya.

Sementara itu, Zaini berkata, kereta terbabit dikatakan bergerak laju kira-kira lima meter ke hadapan.

"Saya cepat-cepat tutup enjin kereta sebab tengok pemandu masih dalam keadaan terkejut, mungkin tidak sedar bahawa telah pun terlanggar isteri sendiri," ujar Zaini.

Kereta tersebut bagaimanapun dialihkan penduduk kampung bagi mengeluarkan mangsa.

Zaini menunjukkan lokasi di mana kenderaan jenis Proton Saga dikatakan menggelongsor ke hadapan sebelum melanggar mangsa.
Zaini menunjukkan lokasi di mana kenderaan jenis Proton Saga dikatakan menggelongsor ke hadapan sebelum melanggar mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pasangan suami isteri warga emas terbabit hendak pulang dari majlis kenduri kahwin di kampung terbabit.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu yang juga suami mangsa menghidupkan enjin kereta dalam keadaan bergear menyebabkan kereta terbabit menggelongsor ke hadapan lalu terlanggar mangsa yang kebetulan berdiri di hadapan kereta.

"Mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di bahagian dalaman badan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.