PRU15: Rundingan kerusi PN masih berjalan

Muhyiddin (dua dari kanan) ketika menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semu pada Sabtu. - Foto Facebook Pas Pusat
Muhyiddin (dua dari kanan) ketika menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semu pada Sabtu. - Foto Facebook Pas Pusat
A
A
A

ALOR SETAR - Rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) telah mula dilaksanakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, rundingan pengagihan kerusi PN masih belum selesai buat masa ini dan ia akan disegerakan.

“Kita sudah mula rundingan tetapi belum selesai. Tapi saya sudah diberitahu untuk disegerakan,"katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.

Beliau menjangkakan rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam PN akan selesai dalam masa terdekat sebelum PRU15 nanti.

Ketika diminta mengulas mengenai idea kerjasama PN bersama pembangkang, Muhyiddin mengakui perkara itu agak sukar untuk direalisasikan.

“Itu cuma nak menunjukkan apa orang kata sebelum ini ada pihak-pihak yang mencadangkan kalau boleh mengelakkan pertembungan. Ia disuarakan oleh Ketua Pemuda PN iaitu Ketua Pemuda Pas dalam konvensyen. Jadi saya bagi reaksi.

“Tapi saya faham situasinya agak sukar. Jadi apa pun situasi kalau sudah begitu situasinya kita akan menghadapi realiti kalau ada pertembungan, kita akan lawan. Kita bersedia untuk menghadapi saingan sama ada tiga penjuru, empat penjuru, tidak menjadi masalah pada kita,”ujar beliau.

Tambah Muhyiddin, pendirian itu juga menandakan sikap keterbukaan Bersatu, bagaimanapun parti tetap mendukung pendirian yang ditetapkan bersama parti dalam gabungan PN.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, pihaknya juga memahami bahawa akar umbi tidak bersetuju dengan idea tersebut, bagaimanapun PN akan memutuskan sesuatu perkara berdasarkan musyawarah secara bersama tidak kira apa sekalipun pendirian ataupun keputusan.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan keyakinan bahawa pengundi muda akan memilih PN sebagai pilihan terbaik mereka disebabkan kecenderungan golongan itu yang menolak kleptokrasi salah guna kuasa dan rasuah.