Wanita ditahan kes dera pembantu rumah

Suspek telah direman selama lima hari bermula Khamis hingga Isnin. - Gambar hiasan
Suspek telah direman selama lima hari bermula Khamis hingga Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

GOMBAK - Seorang wanita telah ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes penderaan membabitkan seorang pembantu rumah warga Indonesia di Batu Caves di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 46 tahun pada jam 5 petang Rabu.

"Mangsa mendakwa didera secara fizikal oleh majikannya yang merupakan pasangan suami isteri di sebuah rumah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Zainal Mohamed berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah bekerja dengan pasangan suami isteri tersebut sejak Oktober 2019.

"Mangsa sering dipukul oleh majikannya sejak dia bekerja di rumah tersebut. Mangsa telah melarikan diri dari rumah itu dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang," katanya.

Beliau berkata, susulan daripada laporan daripada pembantu rumah itu, seorang wanita berusia 35 tahun telah ditahan pada Khamis.

"Suspek telah direman selama lima hari bermula Khamis hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Zainal Mohamed berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan siasatan daripada pelbagai sudut bagi tujuan pendakwaan ke atas suspek.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 03-6126 2222 atau 013-3479809," katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan Kementerian Sumber Manusia telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk menyiasat kes penderaan membabitkan seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan memberitahu, kerajaan tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun masih di dalam peringkat siasatan.