Ahli perniagaan Malaysia dihantar ke China: Polis Thailand

Wooi Huat kini berada di bawah tahanan Polis Imigresen Thailand. - Foto Bernama
Wooi Huat kini berada di bawah tahanan Polis Imigresen Thailand. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Ahli perniagaan Malaysia yang menjadi buruan, Teow Wooi Huat dijangka dihantar ke China tidak lama lagi, meskipun polis Malaysia turut memintanya dihantar pulang ke tanah air.

Penolong ketua polis negara, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand di Bangkok, Jumaat.

"Kini, dia (Wooi Huat) berada di bawah kawalan Polis Imigresen dan (kami) sedang bersiap untuk menghantarnya ke China,” katanya.

Malaysia dan China berusaha menjejaki Wooi Huat yang berada dalam senarai notis merah Interpol untuk disoal siasat.

Wooi Huat berada di bawah tahanan Polis Imigresen Thailand selepas visanya dibatalkan pada 22 Julai, dan sejak itu dia menunggu pengusiran pihak berkuasa Thailand.

Pada 25 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihaknya dalam proses memohon agar Wooi Huat dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Wooi Huat juga dikehendaki polis Beijing membabitkan saman yang difailkan kira-kira 400 pelabur China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai kira-kira RM100 juta.

Dia sepatutnya dihantar pulang ke Malaysia pada 9 Ogos, tetapi terhenti susulan pihak berkuasa Thai turut menerima permintaan ekstradisi daripada kerajaan China.

Artikel Berkaitan:

Wooi Huat, 55, mengasaskan Kumpulan MBI dan mengendalikan kompleks hiburan, termasuk sebuah resort di Danok yang terletak di sempadan Thailand-Malaysia, serta membina empayar perniagaan menerusi skim pelaburan dalam talian yang meragukan hingga menarik pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.

Pada 2017, Wooi Huat telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia atas tuduhan dadah tetapi dia berjaya meloloskan diri ke Thailand dan terlepas hukuman mati.

Pada 2019, kira-kira 100 warga China mendakwa mereka telah ditipu oleh skim piramid dalam talian yang dikendalikan oleh MBI serta mengadakan protes secara aman di luar Kedutaan China di Kuala Lumpur.

Pada tahun yang sama, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank berjumlah RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International.

Bank Negara turut menyenaraikan MBI sebagai sebuah syarikat yang menjalankan skim kewangan yang meragukan. - Bernama