Tidak puas hati keputusan mahkamah, Rosmah kemuka rayuan

Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. -Foto Bernama
Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. -Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya bagi tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 70, memfailkan notis rayuan tersebut menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Rayuan menerusi e-mel.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Menurut notis rayuan, Rosmah tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan semalam dan ingin merayu terhadap keputusan yang mensabitkannya mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) 2009 serta hukuman penjara dan denda di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes tersebut.

Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Hakim Mohamed Zaini memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.



Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Hakim Mohamed Zaini dalam penghakimannya antara lain memutuskan bahawa pembelaan Rosmah hanya penafian semata-mata dan wang RM6.5 juta memang untuknya dan beliau menerima wang itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta serta Seri Perdana.
Artikel Berkaitan:


Dalam penghakiman setebal 116 halaman, hakim itu juga memutuskan bahawa Rosmah telah menguasai suaminya, Najib dan mempunyai kawalan ke atas bekas perdana menteri itu dan jelas daripada rakaman klip audio "Can I advise you something" antara Najib dan Rosmah yang tular sebelum ini bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib berhubung urusan kerajaan. - Bernama