Projek PSI: Masih ada ruang kemuka rayuan bantahan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Orang awam masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan bantahan mereka terhadap Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini adalah untuk Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baharu selepas kelulusan EIA sebelum ini dibatalkan.

"Projek PSI masih tertakluk kepada proses rayuan daripada orang ramai. Laporan EIA yang baru diluluskan ini adalah laporan yang baharu selepas sebelum ini ia dibatalkan. Oleh demikian, mana-mana pihak yang ingin mengambil tindakan seterusnya seperti rayuan bantahan, boleh berbuat demikian.

"Projek ini masih tertakluk kepada proses rayuan dan ini di luar bidang kuasa kami," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar pada Khamis.

Kata beliau, semua pertimbangan teknikal bagi projek itu telah melalui pelbagai agensi dan jawatankuasa kerajaan sebelum Laporan EIA baharu diluluskan.

"Mereka boleh mengenakan apa sahaja syarat, jadi sudah tiba masanya untuk kita mematuhinya.

"Sekiranya projek ini tidak dibenarkan untuk dimulakan, bagaimana kita nak buktikan sama ada kita patuhi semua syarat yang ditetapkan atau tidak," katanya.

Laporan EIA pertama untuk Projek PSI diluluskan pada 2019 tetapi dibatalkan pada 2021.

Pada Rabu, JAS pusat telah meluluskan Laporan EIA bagi Projek PSI dengan berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Dalam pada itu, Kon Yeow telah mendedahkan 71 syarat yang dikenakan JAS terhadap kelulusan Laporan EIA bagi Projek PSI seperti yang diminta.

Kon Yeow berkata, kesemua syarat-syarat tersebut telah dilampirkan bersama surat kelulusan yang diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

Menurutnya, kesemua syarat-syarat tersebut adalah di bawah Akta Alam Sekitar yang perlu dipatuhi oleh kerajaan negeri.

"Saya tidak akan sebut setiap satu syarat tersebut, tetapi hanya bahagian-bahagian sahaja. Terdapat 15 bahagian semuanya dan semuanya di bawah Akta Alam Sekitar yang memerlukan kita mematuhinya.

"Antara syarat tersebut ialah pematuhan kepada Akta Alam Sekitar dari segi kerja-kerja pengorekan dan penambakan, kawalan pencemaran udara, air dan bunyi, pelan tindak balas kecemasan di tapak projek dan di luar tapak serta penyediaan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) dan lain-lain.

"Kerajaan negeri dan rakan pengendali juga perlu bersedia untuk mematuhi sebarang syarat tambahan yang dikenakan oleh JAS berhubung projek itu," katanya.

Tambahnya, kesemua butiran Projek PSI boleh didapati di laman sesawang Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (penanginfra.com).

Pada Rabu, Sahabat Alam Malaysia menggesa Kerajaan Pulau Pinang supaya mendedahkan 71 syarat yang dikenakan JAS dalam kelulusan Laporan EIA bagi Projek PSI.

Selain itu, SAM juga meminta JAS Pusat untuk menjelaskan alasan dan sebab mengapa Laporan EIA projek tambakan laut tersebut telah diluluskan.