Kes profil tinggi terbukti di mahkamah hasil gerakan politik PH

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyifatkan kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri adalah hasil gerakan politik yang dibawa Pakatan Harapan (PH).

Mohamad berkata, usaha dan transformasi politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 itu merupakan perubahan signifikan kepada negara.

Orang-orang besar didakwa dan didapati bersalah selepas PRU 2018 dan ia memulakan suatu perubahan baharu dalam sistem pentadbiran Malaysia terutama dalam memerangi rasuah, salah guna kedudukan, salah guna kuasa dan salah guna harta rakyat.

“Usaha secara besar-besaran sebelum ini bukan tidak ada, tetapi ia lebih signifikan selepas perpindahan kuasa rakyat pada 2018.

“Malaysia seharusnya berada setaraf dengan Korea Selatan jika tiada kebocoran yang berleluasa. Menurut ahli-ahli ekonomi, dianggarkan kebocoran yang berlaku di Malaysia lebih daripada RM60 bilion setahun,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu Mohamad berharap, revolusi kehakiman dalam negara akan berterusan agar sesiapa sahaja yang mendapat kuasa selepas pilihan raya akan datang perlu menjaga harta rakyat sebaik mungkin.

“Mereka hendaklah berkhidmat kepada negara. Jika tidak mencukupi gaji dan elaun yang diperolehi, boleh diusahakan supaya mereka memperolehi pendapatan yang seimbang terutama kepada menteri, ahli-ahli Parlimen dan sebagainya.

“Ini kerana gejala rasuah amat membebankan negara. Ia boleh menjatuhkan sesebuah negara seperti yang berlaku di Sri Lanka.

Artikel Berkaitan:

“Ayuh rakyat Malaysia, teruskan perubahan. Tekadkan supaya memerangi rasuah menjadi agenda utama rakyat (supaya) negara kita akan lebih selamat, bahagia dan lebih makmur pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan itu turut membandingkan pencapaian negara-negara jiran yang perlu dicontohi oleh Malaysia.

“Kita lihat negara jiran terdekat seperti Indonesia, hasil mahsulnya tidak terlalu besar tetapi kebocoran amat rendah, menyebabkan mereka mempunyai 'reserve' yang tinggi. Kita boleh lihat bagaimana Singapura mempunyai Dolar yang kuat, jauh meninggalkan Malaysia.

“Kita berharap generasi yang akan datang dapat menikmati keadaan ekonomi lebih baik, hidup lebih selesa jika dibandingkan pada masa lalu,” ujarnya.