RM1.3 bilion untuk minimumkan kesan banjir di Kedah

Ismail Sabri berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Astaka Utama Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.
Ismail Sabri berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Astaka Utama Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan kerajaan untuk melaksanakan sebanyak tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kedah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan terbabit bagi meminimumkan kesan bencana banjir di negeri ini.

"Peruntukan itu turut melibatkan Sungai Pendang; Sungai Kedah/Anak Bukit; Baling, Kuala Pegang dan Bandar Jitra Selatan.

"Sebanyak RM239 juta juga telah diperuntukkan bagi pembinaan rangkaian sistem pembetungan di seluruh Kedah yang merangkumi 28 loji kumbahan awam dan 16 loji kumbahan di premis kerajaan.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Astaka Utama Stadium Darul Aman, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa peka dan prihatin akan kepentingan jalinan jalan raya sempurna untuk memudahkan Keluarga Malaysia khususnya di Kedah untuk menjalankan kegiatan harian dengan selamat dan selesa.

“Susulan itu, kerajaan membelanjakan RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja Justeru.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, sebanyak RM526 juta diperuntukkan untuk menaikkan taraf jalan Persekutuan Gerik/Kupang/Lunas bagi kelancaran aliran trafik dan meminimumkan tempoh perjalanan,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan juga telah merancang untuk membina sebuah Pusat Kanser Wilayah Utara (PKWU) yang terletak di Sungai Petani bawah peruntukan Rolling Plan ke-4 (RP4) RMK12.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 844 unit rumah kini dibina dan dibaik pulih di Kedah melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.702 juta yang memanfaatkan lebih 4,220 ahli isi rumah luar bandar melalui inisiatif Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Beliau menyatakan, Jambatan Manjalara di Kota Setar yang telah uzur juga akan digantikan dengan jambatan baharu bagi memastikan lalu lintas lebih sistematik untuk kemudahan Keluarga Malaysia.

Sebelum itu, Ismail Sabri turut menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada 12 anak Keluarga Malaysia yang kehilangan ibu atau bapa atau penjaga atau kedua-duanya akibat pandemik Covid-19, pemberian Program Bantuan Rumah (PBR) dan Tawaran Pinjaman Pelajaran MARA ke Luar Negara.

Sebanyak 27 reruai kaunter perkhidmatan mengambil bahagian melibatkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Antara lain, sebanyak 80 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), 60 gerai jualan di bawah Pavilion Usahawan Desa KPLB @ JAKM Kedah, 10 gerai Citarasa Keluarga Malaysia, 10 trak jualan makanan dan 6 reruai Jualan Keluarga Malaysia.