Makmal mini dadah dalam hutan diserbu

Eng Lai (dua kiri) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada Jumaat.
Eng Lai (dua kiri) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket yang aktif memproses dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak Januari lalu tumpas apabila tiga lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah pondok di dalam hutan di Segambut, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan jam 2.30 pagi itu, tiga lelaki berusia 32 hingga 51 tahun ditahan bersama dadah jenis ketamin seberat 3,631 gram, kafien (14,136 gram), heroin (111 gram) dan methaphetamin (0.13 gram).

"Selain itu, kita juga menemui pelbagai jenis bahan kimia dalam bentuk cecair dan serbuk serta peralatan di pondok yang dijadikan sebagai makmal mini memproses dadah itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal, satu jam tangan berjenama serta barang kemas dalam serbuan itu.

"Dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 8,939 penagih dan dianggarkan bernilai RM220,950," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai mempelajari cara untuk memproses dadah melalui rakannya ketika berada di dalam penjara.

Berdasarkan bahan kimia yang dirampas, kita percaya kebanyakan dadah yang diproses adalah heroin untuk dijual kepada kenalan di sekitar Lembah Klang.

"Kita masih lagi menyiasat dari mana sindiket ini memperoleh bekalan bahan kimia serta dadah berkenaan selain mengenal pasti saki baki kumpulan terbabit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Eng Lai, semakan dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kesemua suspek berkenaan positif dadah jenis methaphetamin.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 7 September untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.