Pemuda Pas sebulat suara lulus usul calon muda 30 peratus

Sebahagian perwakilan yang hadir pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat pada Jumaat. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
Sebahagian perwakilan yang hadir pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat pada Jumaat. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
A
A
A

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas Pusat meluluskan usul sekurang-kurangnya 30 peratus calon muda akan diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, usul berkenaan dibahaskan oleh perwakilan bagi melihat reaksi ahli sayap parti Pas itu untuk menyahut cabaran yang diumumkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Khamis.

Menurutnya, Pemuda Pas bersedia mengetengahkan calon muda sehingga 30 peratus malah berupaya menawarkan calon berkaliber sehingga 50 peratus sekalipun.

"Kesemua perwakilan sebulat suara bersetuju dengan usul terbabit," katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-63 di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Tuan Ibrahim semasa berucap pada perasmian Muktamar Pemuda Pas menyatakan pendirian bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pemuda akan mewakili parti itu dalam PRU15.

Terdahulu, pada sesi perbahasan usul, Exco Dewan Pemuda Pas Kawasan Bangi, Afif Nur Fuza yang membentangkan usul terbabit berkata, cadangan dibuat agar 30 peratus dinaikkan kepada 50 peratus bagi memastikan calon yang akan bertanding dalam PRU15 bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibarisi golongan muda, sama ada calon lelaki mahupun wanita.

"Usul terbabit dicadangkan atas faktor berlaku peningkatan pengundi muda selepas pendaftaran pengundi 18 tahun secara automatik dilaksanakan.

"Cadangan menambah kouta kepada 50 peratus itu perlu merangkumi kalangan ulama, pemuda, muslimat serta mereka berusia bawah 40 tahun," katanya pada sesi perbahasan usul.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Fadhli berkata, dengan lulusnya usul berkenaan, ia menjadi cabaran kepada Pemuda untuk menyiapkan barisan calon yang berkaliber.

"Ketika perbahasan ada yang mahu naikkan kouta 30 peratus itu sehingga 50 peratus, angka tersebut bukanlah suatu yang tetap. Apa yang ingin kami sampaikan ialah sekiranya ada Pemuda yang layak diangkat sebagai calon, 50 peratus pun tak ada masalah," ujarnya.

Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan adalah kemampuan Pemuda untuk menggalas tanggungjawab tersebut, bukannya kuota calon.

"Perwakilan yang bahas mahu naikkan sehingga 50 peratus itu... kalau saya boleh sebut hanyalah retorik dalam perbahasan. Kami tetap letakkan 30 peratus sebagai cadangan daripada Timbalan Presiden.

"Kami perlu penuhi cabaran itu untuk menyiapkan barisan calon yang berkaliber dan boleh menang dalam PRU akan datang," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli tegaskan, pihaknya tidak menetapkan sasaran untuk mana-mana kawasan untuk diwakili calon Pemuda sama ada kawasan luar bandar atau bandar.

"Perkara itu akan diperincikan oleh Jabatan Pilihan Raya. Ini kerana terdapat pelbagai kategori kerusi contohnya yang boleh menang mudah, dan ada kategori B dan C. Ini termasuk 27 kerusi kritikal yang akan dirundingkan bersama Barisan Nasional (BN).

"Yang penting kita akan putuskan dulu kerusi mana untuk bertanding sebelum umum calon," katanya lagi.

Pada muktamar tersebut, dua lagi usul yang diluluskan adalah dari Dewan Pemuda Pas Pusat yang mahu muafakat politik kalangan parti Melayu dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem diperkukuhkan segera bagi menyelamatkan negara yang kian meruncing selain persediaan berhadapan dengan situasi buruk ekonomi dunia.

Sehubungan itu, Pas, Perikatan Nasional (PN) dan parti komponen lain digesa menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Usul ketiga yang merupakan usul tergempar ialah Pas perlu tampil sebagai gerakan Islam dalam negara mahupun di persada dunia.