Lima penganggur termasuk dua beradik didakwa edar dadah

Dua beradik dan tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah, pada Jumaat atas pertuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah di sebuah bangsal di Chenderiang, bulan lalu. - Foto Bernama
Dua beradik dan tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah, pada Jumaat atas pertuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah di sebuah bangsal di Chenderiang, bulan lalu. - Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Dua beradik dan tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah di sebuah bangsal di Chenderiang di sini bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada dua beradik, R Sivaraj, 29, dan R Sathiswaran, 30, serta tiga lagi tertuduh iaitu L Vichnesh, 30, A Tanabalan, 31, dan R Suresraj, 33, yang hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Kesemua lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya berat kasar iaitu 111,326 gram (g) disyaki methamphetamine dan kesalahan itu dilakukan di sebuah bangsal berkanvas hijau dan oren di Lot 11876 Mukim Chenderiang di sini pada 9.45 pagi, 26 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tanabalan turut didakwa mengedar dadah berat kasar iaitu 2,075g disyaki methamphetamine mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, pada masa dan tempat sama.

Kedua-dua pertuduhan memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum mati, dihukum dengan minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 Ogos, polis menahan mereka dalam serbuan melibatkan rampasan bernilai RM6.7 juta di sebuah bangsal di Chenderiang dan dipercayai sudah mula aktif menjalankan aktiviti itu sejak Jun lepas. - Bernama