Segera siapkan RTB Sungai Belat elak banjir berulang

Projek RTB Sungai Belat dijangka siap pada November depan. (Gambar kecil dari kiri: Suraidi, Mohd Sufni dan Nor Jehan)
Projek RTB Sungai Belat dijangka siap pada November depan. (Gambar kecil dari kiri: Suraidi, Mohd Sufni dan Nor Jehan)
A
A
A

KUANTAN - Penduduk di beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura bimbang akan terus menjadi mangsa setiap kali musim tengkujuh tahun ini susulan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Belat masih belum disiapkan.

Projek RTB bernilai lebih RM100 juta itu sepatutnya siap tahun lalu, namun ditunda beberapa kali dan dijangka siap sepenuhnya pada November depan.

Penduduk di Taman Guru, Suraidi Abd Jalal, 60, mengakui tidak senang hati selagi projek RTB Sungai Belat belum siap kerana kawasan kediaman mereka senang dinaiki banjir setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, keadaan banjir antara Disember hingga Januari lalu adalah paling buruk sejak menetap di situ.

"Kalau sebelum ini, dalam masa tiga jam, air sudah sampai paras pinggang dalam rumah dan kami tidak dapat menyelamat banyak barangan berharga.

"Kalau perabot dengan peralatan elektrik itu, boleh dibiarkan sajalah, tapi kebanyakan yang tinggal di sini (Taman Guru) adalah 'orang pencen', kami tidak larat nak angkat barang itu semua," katanya yang merupakan pesara ketika ditemui di RTB Bunut Rendang di sini pada Khamis.

Dia meminta agar kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan pembinaan projek RTB Sungai Belat.

"Kita harapkan satu tindakan segera sebab sekarang sudah bulan September, ada dua bulan lagi untuk projek ini disiapkan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagi suri rumah, Nor jehan Abu Bakar, 50, turut menyuarakan rasa kecewa dengan perkembangan terkini projek RTB Sungai Belat yang disifatkan terlalu perlahan.

Nor jehan berkata, pelan kecemasan jika berlaku banjir di kawasan ini juga tidak ada dan menyebabkan penduduk menjadi mangsa.

"Kita lihat seperti tiada kesungguhan di pihak berkuasa untuk menangani masalah banjir ini. Kita tidak mahu menjadi mangsa banjir setiap tahun.

"Jadi, pihak berkuasa perlu menjadikan projek ini sebagai keutamaan bagi memberi keselesaan kepada penduduk," jelasnya.

Seorang penduduk dari Taman Inderapura 2, Mohd Sufni Adlan, 37, memaklumkan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini menambah kebimbangan mereka.

"Kalau ikutkan ramalan (MetMalaysia) November ini, akan berlaku hujan lebat hingga boleh mengakibatkan banjir besar. Bila fikir pasal benda ini, dengan projek RTB belum siap, memang kami akan jadi mangsa banjir lagi tahun ini.

"Saya pun tidak tahu hendak cakap apa, cuma kalau boleh pihak berkenaan tengoklah sikit projek ini, kalau boleh siapkan, siapkanlah secepat mungkin," ujar Mohd Sufni.

Fuziah bersama penduduk melawat projek RTB Bunut Rendang yang masih dalam proses pembinaan pada Khamis.
Fuziah bersama penduduk melawat projek RTB Bunut Rendang yang masih dalam proses pembinaan pada Khamis.

Difahamkan, projek RTB Sungai Belat itu bermula pada Januari 2018 dan dijadualkan Januari 2021.

Projek itu sepatutnya memberi manfaat kepada kira-kira 35,000 penduduk di Paya Besar dengan kawasan perlindungan seluas 1,255 hektar.

RTB Sungai Belat adalah sebahagian daripada Projek Rancangan Tebatan Banjir Bandar raya Kuantan bagi memberikan perlindungan daripada banjir kepada 350,000 penduduk dengan kawasan perlindungan sehingga 20,000 hektar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh ketika ditemui selepas meninjau perkembangan projek RTB Sungai Belat di rumah pam Kampung Bunut Rendang dan Taman Guru menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan projek terbabit.

Beliau membayangkan projek terbabit tidak dapat disiapkan menjelang November depan berdasarkan cara kerja yang sedang mereka lakukan.

"Kita nampak sendiri tak sampai 10 orang tengah bekerja di sini sedangkan projek ini perlu disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi.

"Kita mahu tahu sejauh mana perkembangan projek, ada orang cakap sudah 96 peratus, tapi saya tidak pastilah sudah sampai 96 peratus atau belum," tegas beliau.

Fuziah turut memberitahu, ada penduduk sekitar lembangan Sungai Belat sudah mula merancang untuk berpindah ke tempat lain bagi tempoh tiga bulan akan datang kerana bimbang banjir besar berulang di kawasan itu.

"Untuk yang mampu (berpindah) bolehlah pindah, bagaimana dengan mereka yang tak mampu, maknanya mereka kena hadap jugalah kalau banjir besar," jelasnya.