Abdul Latiff perlu berani saman Rafizi

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Hassan)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Hassan)
A
A
A

PASIR GUDANG - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad perlu berani saman Rafizi Ramli jika dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengenai penglibatannya dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) tidak benar.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, bekas Timbalan Menteri Pertahahan itu ada hak berbuat demikian bagi membuktikannya tidak bersalah dan mendapatkan keadilan.

"Pada hemat saya Rafizi mempunyai pembelaan bermerit antaranya ialah fakta-fakta yang dinyatakannya itu benar selain untuk kepentingan awam, tiada niat jahat dan komen yang berpatutan.

"Sekiranya Abdul Latiff secara peribadi merasakan dirinya telah difitnah oleh Rafizi Ramli maka dari segi undang-undang sivil, beliau ada hak untuk saman Rafizi di mahkamah sivil," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir membuat laporan polis terhadap Abdul Latiff berkaitan skandal perolehan LCS di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada Rabu pula, seorang pegawai kepada Abdul Latiff membuat laporan polis terhadap Rafizi atas dakwaannya mendakwa Ahli Parlimen Mersing itu mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh yang terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek LCS.

Susulan itu polis dilaporkan akan memanggil Rafizi untuk dirakam keterangan berhubung laporan polis dibuat pegawai Abdul Latiff itu dan Rafizi pada malam Rabu menyatakan kesediaannya memberi keterangan kepada polis.

Hassan berkata, laporan sudah dibuat Akmal Nasrullah namun sehingga kini tiada siasatan dibuat terhadap Abdul Latiff, sebaliknya apabila laporan dibuat terhadap Rafizi, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai segera mahu menyiasatnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengakui hak polis untuk memulakan siasatan. Namun polis perlu menunjukkan sikap yang adil dan telus. Adakah pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap Abdul Latiff sebaik sahaja Rafizi Ramli membuat laporan rasmi terhadapnya," soal beliau.

Beliau mendakwa, kenyataan Ketua Polis Daerah Sentul itu amat membimbangkan kerana seperti satu ancaman yang menggunakan Kanun Keseksaan dan Akta komunikasi dan Multimedia untuk menakutkan ahli-ahli politik dan aktivis masyarakat agar tidak mengkritik menteri.

Jelasnya, ancaman dan amaran tidak langsung Ketua Polis Daerah Sentul itu jelas bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu setiap warganegara mempunyai hak terhadap kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

"Polis silap daripada segi Undang-undang jika menggunakan seksyen 500 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk melundungi menteri Kabinet," ujarnya yang juga merupakan seorang peguam.

Menteri Kabinet atas jawatannya dan peribadinya kata beliau, boleh ditegur dan dikritik, malah boleh disaman di mahkamah namun menteri tidak boleh menggunakan polis untuk melindungi dirinya.

"Begitu juga Polis tidak boleh menggunakan ugutan undang-undang bagi melindungi menteri-menteri Kerajaan," tegasnya.