Abd Latiff ‘takut’ kemuka saman: Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad ‘takut’ untuk mengemukakan saman terhadapnya, meskipun telah dicabar untuk berbuat demikian.

Ini kerana menurutnya, Ahli Parlimen Mersing itu sekadar membuat laporan polis mengenai pendedahan yang dibuatnya mengenai pembabitan Abd Latiff dan wanita bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa sebagai isterinya dalam penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

“Dia (Abd Latiff) takut saman, jadi (beliau) buat laporan polis, tidak payah tunjuk bukti (dan saya) berharap polis fokus kepada isu Zainab... isteri dia ke tak, bukan isu 'sakau' duit.

“Tapi kita pun sudah membuat laporan polis pasal sakau duit. Polis sekarang boleh siasat kaitan dia dan kes sakau duit juga,” katanya melalui ciapan di Twitter pada Rabu.

Pada malam Selasa, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Khas Abd Latiff Ahmad, Sayed Ahmad Mui'izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Rafizi.

Sayed Ahmad Mui'izzuddin berkata, laporan itu dibuat berhubung kenyataan Rafizi yang mengaitkan Ahli Parlimen Mersing itu dan wanita bernama Zainab yang didakwa sebagai isterinya dalam penyelewengan projek LCS.

Rafizi sebelum ini mencabar Abd Latiff supaya memfailkan saman serta-merta terhadap dirinya jika semua dakwaan itu tidak benar.

Artikel Berkaitan: