Rapid Rail kenal pasti penambahbaikan segera, elak stesen sesak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah mengenal pasti penambahbaikan segera yang perlu diambil bagi mengelak kesesakan teruk di stesen-stesen pertukaran utama pada masa hadapan.

Rapid Rail dalam kenyataan malam Rabu memaklumkan, antaranya ialah menambah bilangan pegawai stesen serta polis bantuan untuk mengawal kesesakan terutama waktu puncak, mesin jualan tiket yang dapat menerima wang kertas serta duit syiling, dan meningkatkan jumlah Duta Rel bagi membantu pengguna di stesen.

"Selain itu pihak Rapid KL juga akan menilai kebolehlaksanaan perkhidmatan alternatif seperti Rapid KL Ekspres, satu perkhidmatan bas tanpa henti dari satu stesen ke stesen-stesen pertukaran utama," menurut kenyataan tersebut.

Rapid Rail memaklumkan, beberapa stesen rel Rapid KL terutama di stesen pertukaran utama seperti Pasar Seni, mengalami kesesakan bermula pagi ini (Rabu) ekoran peningkatan luar biasa jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel untuk ke ibu kota bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Berikutan keadaan di beberapa stesen yang mengalami kesesakan teruk, Rapid Rail berkata, mereka telah mengambil tindakan segera bagi mengawal keadaan serta memastikan keselamatan pengguna, termasuk menambah bilangan tren untuk mengurangkan kesesakan.

"Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada semua penumpang yang terlibat di atas segala kesulitan dihadapi. Kami akan menilai semula sistem serta proses operasi kami agar situasi yang sama tidak berulang," menurut kenyataan itu.

Menurut Rapid Rail keadaan di stesen-stesen kembali pulih pada pukul 3 petang dan keadaan kini terkawal. - Bernama

Artikel Berkaitan: