Hala tuju pelbagai pengendali perkhidmatan rel masih dikaji

Kerajaan akan menetapkan hala tuju berkenaan pelbagai pengendali perkhidmatan rel, tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan yang sedang dilaksanakan.
Kerajaan akan menetapkan hala tuju berkenaan pelbagai pengendali perkhidmatan rel, tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan yang sedang dilaksanakan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menetapkan hala tuju berkenaan pelbagai pengendali perkhidmatan rel, tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan yang sedang dilaksanakan untuk memperkasakan industri kereta api.

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, kajian berkenaan menjurus kepada penambahbaikan tadbir urus dan kerangka model kereta api sedia ada termasuk dalam aspek kewangan, ekonomi, operasi, sosial, kawal selia dan perundangan.

Jawapan itu bagi menjawab pertanyaan lisan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang tidak dijawab di dalam Dewan Rakyat berhubung sama ada kerajaan akan mengizinkan lebih banyak syarikat bersaing dalam perkhidmatan penumpang rel supaya penumpang mempunyai lebih banyak pilihan.

Menurut kementerian, kajian tersebut turut merangkumi aspek pengukuhan pemain utama industri kereta api jajaran utama iaitu Keretapi Tanah Melayu Bhd dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) serta keperluan mewujudkan entiti baharu bagi menyokong keseluruhan ekosistem yang mampan dan kompetitif.

Kementerian berkata, pihaknya melihat terdapat peluang untuk menambah baik ekosistem pengurusan kereta api bagi sektor jajaran utama yang kini dioperasikan oleh KTMB.

"Aspek kemampanan operasi dan penambahbaikan ekosistem dalam pengurusan kereta api sentiasa diteliti agar operator dapat terus berdaya saing untuk memberi perkhidmatan terbaik,” katanya. - Bernama