Polis Pulau Pinang kenal pasti kongsi gelap sokong NGO dalam PRN

Kok Chin
Kok Chin
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang telah mengenalpasti kumpulan kongsi gelap yang dipercayai menyokong badan bukan kerajaan (NGO) dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua senarai dan kegiatan kongsi gelap terlibat, kini berada di dalam pemantauan polis.

Menurutnya, mereka disyaki menggunakan platform NGO ketika siri kempen dan ketika pilihan raya diadakan.

"Kita sudah kenal pasti kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang mungkin mempengaruhi dan mengganggu PRN ini. Selain itu, kita juga mengenalpasti 'bad character' di kawasan-kawasan yang mungkin mereka akan mempengaruhi pilihan raya.

"Kita juga memantau kumpulan-kumpulan NGO yang di belakangnya disokong oleh kongsi gelap sama ada untuk bantuan kempen atau mendatangkan kegusaran awam. Itu pun kita dah kenal pasti siapa-siapa yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Khamis.

Beliau menambah, polis akan terus bertindak sekiranya mendapati kumpulan ini mendatangkan kekecohan atau kegusaran awam.

"Jika ada sesuatu yang dilakukan oleh mereka, kita akan terus bertindak dan ambil langkah pencegahan, sama ada mereka (kongsi gelap dan NGO) aktif atau tidak aktif kita ada senarai itu semua.

"Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga menjalankan Op Cantas iaitu sebelum, semasa dan selepas PRN nanti," katanya.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, polis turut mengenal pasti dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berisiko menjadi kawasan panas (hotspot)dalam PRN nanti.

Dua kawasan itu adalah DUN Permatang Pasir di bawah Parlimen Permatang Pauh dan DUN Bayan Lepas di bawah Parlimen Balik Pulau.

"Polis memberi tumpuan di dua kawasan ini dan juga di kawasan-kawasan lain sepanjang tempoh PRN diadakan nanti.

"Tumpuan di kawasan hot spot juga dibuat berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh pihak polis dari semasa ke semasa dan setakat ini keadaan terkawal," katanya.

Mengulas mengenai kekuatan anggota dan pegawai bagi kontinjen Pulau Pinang yang akan bertugas dalam PRN nanti, beliau berkata, seramai 5,776 pegawai dan anggota polis terlibat sepanjang tempoh berkenaan.

"Selain anggota dan pegawai kontinjen di sini, kita turut mendapat bantuan daripada 663 anggota dan pegawai dari Bukit Aman serta kontinjen lain yang tidak terlibat dengan PRN.

"Di Pulau Pinang terdapat sebanyak 23 pusat penamaan calon iaitu 14 di bahagian pulau manakala sembilan lagi di Seberang Perai dan pihak polis akan memastikan proses tersebut berjalan lancar," katanya.