Kapal persiaran jadi 'rumah sementara' pemohon suaka

Kapal persiaran ini dijangka dapat memuatkan sehingga 1,500 orang pada satu-satu masa. - Foto: Agensi
Kapal persiaran ini dijangka dapat memuatkan sehingga 1,500 orang pada satu-satu masa. - Foto: Agensi
A
A
A

THE HAGUE - Ibu kota Belanda pada Selasa mengumumkan rancangan untuk menempatkan kira-kira 1,000 pemohon suaka di atas kapal persiaran sebagai usaha mengatasi kesesakan melampau di pusat penempatan migran.

Pegawai Majlis Perbandaran memaklumkan, kapal tersebut akan berlabuh selama kira-kira enam bulan di kawasan perindustrian Westelijk Havengebied yang terletak jauh dari terusan dan lokasi tarikan pelancong di bandar Amsterdam bermula 1 Oktober depan.

Ia dijangka dapat memuatkan sehingga 1,500 orang pada satu-satu masa.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas agensi bantuan memberi amaran tentang krisis kemanusiaan di Pusat Migran Ter Apel di utara Belanda setelah seorang bayi berusia tiga bulan dilaporkan meninggal dunia pada minggu lalu.

Perdana Menteri, Mark Rutte turut terkejut dengan insiden kematian bayi di kemudahan berkenaan dan beliau berjanji akan melaksanakan ‘penyelesaian struktur’ kepada masalah tersebut.

Difahamkan, antara sebab utama masalah itu adalah kekurangan kakitangan di kemudahan berkenaan selepas pemerintah mengurangkan kapasiti ketika pandemik Covid-19.

“Kami mengambil satu lagi langkah untuk menyelesaikan krisis melibatkan pemohon suaka.

“Tempat penginapan sementara berskala besar itu adalah sangat penting untuk meredakan kebimbangan golongan tersebut,” kata Menteri Migrasi, Eric van der Burg dalam satu kenyataan sambil menambah rancangan tersebut dibiayai oleh kerajaan pusat.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan Doctors without Borders memberikan bantuan perubatan dan psikologi kepada golongan tersebut yang hanya berlindung di luar pagar kemudahan berkenaan. - Foto AFP
Kakitangan Doctors without Borders memberikan bantuan perubatan dan psikologi kepada golongan tersebut yang hanya berlindung di luar pagar kemudahan berkenaan. - Foto AFP

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal sosial dan pelarian, Rutger Groot Wassink menyifatkan situasi di Ter Apel amat menyayat hati.

“Kami perlu mencari alternatif lain atau jalan penyelesaian sementara bagi tempoh jangka pendek terhadap kekurangan lokasi pusat penerimaan supaya golongan pelarian mempunyai tempat untuk berlindung,” ujarnya.

Pada akhir minggu lalu, pihak berkuasa mula membawa keluar kumpulan migran dari pusat Ter Apel secara berperingkat dengan menaiki bas.

Masalah kesesakan itu dikatakan semakin serius selepas kebanyakan pemohon suaka yang sudah memperoleh status pelarian masih tidak dapat mencari tempat tinggal dan terpaksa menetap di pusat penempatan sementara. - Agensi