Mural pahlawan Mat Kilau tarikan baharu Kuantan Art Street

Lukisan mural pahlawan Mat Kilau dan Tok Bahaman pada bangunan kedai di Jalan Lebai Ali menjadi tarikan baharu Kuantan Art Street.
Lukisan mural pahlawan Mat Kilau dan Tok Bahaman pada bangunan kedai di Jalan Lebai Ali menjadi tarikan baharu Kuantan Art Street.
A
A
A

KUANTAN - Mural pahlawan Mat Kilau dan Tok Bahaman menghiasi bangunan rumah kedai Jalan Lebai Ali menjadi tarikan baharu Kuantan Art Street di sini.

Mural dihasilkan lima pelukis tempatan itu merupakan tajaan syarikat Alam Flora Sdn Bhd dengan kos RM45,000.

Selain paparan wajah tokoh pahlawan Pahang itu, mural tersebut turut menggambarkan suasana pertempuran antara pejuang tempatan menentang askar British serta lukisan abstrak semangat patriotisme negara menggunakan warna Jalur Gemilang.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, mural tersebut mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan dan menggunakan 16 tong cat dengan tujuh warna asas.

Menurutnya, pemilihan Mat Kilau sebagai tema lukisan mural itu bagi menarik golongan muda untuk menghayati sejarah negeri Pahang dan menghargai perjuangan pahlawan tanah air menentang penjajah.

"Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif meremajakan 'Kuantan Old Town' seterusnya menggalakkan interaksi sosial, merancakkan pelancongan bandar dan meningkatkan perniagaan serta ekonomi di bandar ini.

"Ia juga bagi memelihara dan memulihara bangunan rumah kedai sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar yang menjadi warisan bandar Kuantan," katanya.

Hamdan (dua dari kiri) menyempurnakan perasmian lukisan mural Mat Kilau di Jalan Lebai Ali, disaksikan Sharudin (kiri), Raja Kamal Azizul (dua dari kanan) dan Mohd Alhamadi pada Rabu.
Hamdan (dua dari kiri) menyempurnakan perasmian lukisan mural Mat Kilau di Jalan Lebai Ali, disaksikan Sharudin (kiri), Raja Kamal Azizul (dua dari kanan) dan Mohd Alhamadi pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Mural Pahlawan Mat Kilau oleh Alam Flora kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Jalan Lebai Ali di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid; Timbalan Pengurus Besar Operasi Alam Flora, Raja Kamal Azizul Raja Ibrahim dan cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar.

Hamdan berkata, mural terbaharu itu sebahagian daripada Projek Kuantan Art Street di bawah MBK dengan kerjasama pelukis dan pelbagai pihak.

Beliau berkata, projek itu melibatkan tiga fasa dengan 74 lukisan sepanjang 1.3 kilometer telah disiapkan untuk fasa pertama dan kedua.

"Fasa ketiga dijangka bermula hujung tahun ini dengan tambahan elemen baharu sepanjang kira-kira 900 meter lagi di Jalan Mahkota dan Jalan Besar di sini.

"Apabila semua fasa siap kelak, kita jangkakan projek ini akan muncul sebagai 'Art Street' terpanjang di negara ini," katanya.

Tambah beliau, konsep itu juga akan diperluas ke kawasan lain di bandar Kuantan bagi meremajakan bangunan-bangunan lama berdasarkan permintaan pemilik bangunan.