Merdeka: Rakyat Malaysia tebus penantian dua tahun

Orang ramai yang hadir mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pagi Rabu. - Foto Bernama
Orang ramai yang hadir mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pagi Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

31 OGOS 2022. Hari ini Malaysia menempuh usia 65 tahun merdeka.

Sambutan kemerdekaan kali ini pastinya bakal disambut dengan lebih meriah setelah dua tahun meraikannya secara sederhana susulan penularan wabak Covid-19.

Dua tahun menanti, akhirnya rakyat Malaysia dapat menebus penantian untuk hadir beramai-ramai ke Dataran Merdeka pada hari ini sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Pastinya sambutan kali ini akan memberi keterujaan dan seribu satu makna untuk diingati.

Acara gilang gemilang itu bakal mempamerkan persembahan memukau daripada kira-kira 25,000 peserta pertunjukan dan perarakan bagi kira-kira 50,000 pengunjung yang dijangka hadir.

Sementara itu, Perdana Menteri ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan 2022 pada Selasa turut mengingatkan rakyat bahawa negara mungkin 'dijajah' semula jika nikmat kemerdekaan yang diperjuangkan oleh wira-wira terdahulu tidak pertahankan.

Ismail Sabri menegaskan, hanya rasa cinta kepada negara membolehkan seluruh rakyat terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan negara.

Dalam pada itu, sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 juga kerajaan turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan hadiah istimewa buat 1.28 juta penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 bakal menikmati bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 yang akan dibayar bermula Januari depan.

Ismail Sabri berkata, bayaran itu merupakan antara enam inisiatif ditawarkan kerajaan kepada penjawat awam melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.50 bilion.

Kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 sebanyak RM700 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah dan RM350 bagi pesara serta veteran tidak berpencen.

Khabar gembira itu pastinya menjadi durian runtuh buat penjawat awam yang menjadi tulang belakang kerajaan khususnya bertungkus-lumus dalam memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat.