Toulouse tamatkan penantian 66 tahun julang Piala Perancis

Pemain Toulouse meraikan kejayaan menjulang Piala Perancis. - Foto AFP
Pemain Toulouse meraikan kejayaan menjulang Piala Perancis. - Foto AFP
A
A
A

LOGAN Costa dan Thijs Dallinga menjaringkan dua gol ketika membantu Toulouse membelasah Nantes 5-1 untuk memenangi Piala Perancis buat kali pertama sejak 1957.

Nantes kelihatan bergelut untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka musim lalu itu di Stade de France apabila ketinggalan seawal minit keempat apabila pertahanan tengah, Costa melompat tinggi untuk menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru Branci van den Boomen.

Impian Toulouse untuk bergelar juara kali pertama semakin menyinar melalui satu lagi situasi bola mati apabila lintangan yang dilakukan Stijn Spierings ditanduk masuk Costa dari jarak dekat selepas pertahanan Nantes gagal mengeluarkan bola dengan sempurna.

Nantes hampir merapatkan jurang tetapi percubaan Gabriel Suazo dikeluarkan Mostafa Mohamed di atas garisan gol dan Toulouse pula kemudian menambah satu lagi jaringan sebaik Dallinga meluru mendapatkan hantaran Suazo untuk menewaskan Alban Lafont pada minit ke-23.

Harapan Nantes untuk merencanakan kebangkitan musnah sebaik Dallinga menemui gol kedua peribadinya dengan menolak masuk bola muntah susulan percubaan awal Fares Chaibi.

Kapten Nantes, Ludavic Blas, berhasil mengurangkan defisit jaringan dengan menyudahkan sepakan penalti selepas Rasmus Nicolaisen menjatuhkan Fabien Centonze pada 15 minit terakhir tetapi Zakaria Aboukhlal meledakkan jaringan terakhir perlawanan final itu pada minit ke-79 untuk memastikan kemenangan selesa Toulouse.

"Ia pertandingan ikonik di negara ini dan kami berbangga. Kami melakukannya, kami menjadi sejarah buat kelab," kata Costa.