Bangsal transit diserbu, 765 kg ketum dirampas

Timbunan daun ketum dipercayai untuk kegunaan tempatan.
Timbunan daun ketum dipercayai untuk kegunaan tempatan.
A
A
A

KOTA BHARU - Lima lelaki ditahan selepas 765 kilogram (kg) daun ketum ditemui di sebuah bangsal yang dijadikan sebagai transit di Kampung Simpol Belubang di Machang, Ahad lalu.

Kesemua suspek lelaki berusia antara 21 hingga 31 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 8 malam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika pasukan dari Balai Polis Machang membuat serbuan di bangsal tidak bernombor itu mendapati terdapat lima lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Bangsal tersebut sudah usang dan berlantaikan tanah serta tidak berdinding.

“Pemeriksaan di dalam bangsal menjumpai 3,066 timbunan gulungan plastik yang diikat dengan gelang getah di dalamnya berisi daun ketum dianggarkan seberat 765kg,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Ambang Merdeka ke-65 Tahun 2022 Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, urin empat suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine serta tiga antara mereka mempunyai antara dua dan tiga rekod lampau berkaitan dadah.

“Salah seorang suspek memberitahu mendapat bekalan daun ketum daripada sepupu yang tinggal di Kampung Gemang, Jeli yang dibawa masuk dari Sik, Kedah.

“Sepupu suspek terbabit akan mengupah RM1,000 setiap kali trip kepada seorang pemandu lori yang tinggal di Kadok Ketereh.

Artikel Berkaitan:

“Bangsal tersebut pula dijadikan transit sebelum bekalan ketum yang dianggarkan bernilai RM10,000 dipercayai bagi kegunaan tempatan itu dihantar ke Selising, Pasir Puteh,” ujar beliau.

Menurut beliau, semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Isnin sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.