200 peserta jayakan Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Hijrah

Seramai 200 peserta terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, Sahabat Quran Terengganu, pengusaha dan pelajar rumah ngaji serta orang awam hadir ke Masjid Al-Hijrah bagi menjayakan program Malaysia #QuranHour hari ini.
Seramai 200 peserta terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, Sahabat Quran Terengganu, pengusaha dan pelajar rumah ngaji serta orang awam hadir ke Masjid Al-Hijrah bagi menjayakan program Malaysia #QuranHour hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lebih 200 peserta hadir ke Masjid Al-Hijrah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini bagi mengalunkan bacaan Surah Al-Sajdah sempena program Malaysia #QuranHour yang berlangsung secara serentak di seluruh negara pada Selasa.

Masjid Al-Hijrah yang dipilih sebagai lokasi utama program Malaysia #QuranHour di Terengganu mula dipenuhi peserta terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, Sahabat Quran Terengganu, pengusaha dan pelajar rumah ngaji serta orang awam pada jam 11.45 pagi.

Setiausaha Pertubuhan RumahNgaji Negeri Terengganu, Wan Nur Aziemah Wan Mohd Azmi berkata, pada majlis itu, bacaan surah Al-Sajdah diketuai oleh Qari Abdul Hadi Che Abdul Halim manakala Mohammad Amir Kholis Lukman yang merupakan pengasas Hilwan Madani bertindak sebagai pentadabbur.

"Alhamdulillah, kehadiran hari ini mencapai sasaran dan kita berterima kasih kepada semua pihak atas kerjasama terutama rakan sinergi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor yang turut memberi sokongan.

"Kali ini, kita memilih Masjid Al-Hijrah sebagai lokasi utama bagi memberi tumpuan kepada penduduk setempat dengan membawa solusi dari surah Al-Sajdah dengan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama," katanya di sini pada Selasa.

Menurut Wan Nur Aziemah, Malaysia #QuranHour turut mendapat sokongan beberapa pihak lain seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Abdul Malek, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman 2, SK Tok Jembal, SK Al-Amin, Dungun dan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) yang mengadakan bacaan selama sejam di lokasi masing-masing.

Beliau berkata, kolaborasi pelbagai pihak itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha menghidupkan budaya Al-Quran dalam diri masyarakat terutama golongan muda sekaligus melahirkan generasi berakhlak baik dan positif.

Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Hijrah berjaya menarik penyertaan lebih 200 orang.
Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Hijrah berjaya menarik penyertaan lebih 200 orang.

Artikel Berkaitan:

"Selepas selesainya Malaysia #QuranHour, Pertubuhan RumahNgaji Negeri Terengganu akan memberi perhatian kepada penganjuran program World #QuranHour pula yang dijangka berlangsung pada tahun depan.

"Kita mahu libatkan pelbagai agensi supaya kehebatan dan keindahan Al-Quran dapat disampaikan kepada lebih ramai orang melalui kempen #QuranHour," katanya.

Tahun ini, Malaysia #QuranHour bertemakan ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, acara itu menghadirkan solusi daripada Surah Al-Sajdah yang menyajikan formula bagi membentuk mukmin sejati melalui sujud dan infak.

Selain itu, ianya diadakan bersempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 dalam usaha menghayati surah Al-Sajdah sekali gus membina negara Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur (negara baik yang mendapat keampunan Allah SWT) serta membentuk Keluarga Malaysia yang Teguh Bersama melalui formula sujud dan infak.