Penduduk sifatkan tebing tanah runtuh kejadian terburuk

Keadaan tebing tanah runtuh di Rumah Rakyat Batang Benar, Nilai pada Isnin. - Foto Bernama
Keadaan tebing tanah runtuh di Rumah Rakyat Batang Benar, Nilai pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Beberapa penduduk di Rumah Rakyat Batang Benar di sini menyifatkan kejadian hakisan tebing tanah yang berlaku semalam (Isnin) sehingga mengakibatkan sebahagian rumah mereka runtuh merupakan tragedi terburuk pernah melanda kawasan berkenaan sejak 40 tahun lepas.

S Murugan, 48, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah saudaranya di Kajang, Selangor sebelum bergegas pulang setelah dimaklumkan isterinya mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6 petang.

"Kejadian berlaku begitu pantas, memang panik sebab ia kejadian pertama pernah berlaku, belakang rumah bahagian dapur runtuh tiba-tiba. Tanah yang runtuh itu juga mungkin disebabkan hujan lebat sejak pukul 3 petang.

"Projek perumahan yang sedang dilaksanakan kira-kira 50 meter daripada kawasan perumahan kami juga mungkin antara penyebab hakisan tanah berlaku, sebab sebelum ini hujan lebat juga tapi tak pernah tanah runtuh, mereka korek tanah menyebabkan berlaku mendapan,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Murugan berkata, dia bersama tiga ahli keluarganya tidak berpindah dan mereka mengalami kerugian dianggarkan berjumlah melebihi RM30,000 akibat kerosakan harta benda termasuk mesin basuh dan barangan dapur.

Sehubungan itu, Murugan meminta pihak berkaitan agar segera bertindak supaya semua penduduk tidak berada dalam kerisauan sekiranya kejadian berkenaan berulang lagi yang boleh memusnahkan harta benda dan nyawa.

A Murthy, 58, pula berkata, dia mengarahkan ahli keluarganya keluar dari rumah mereka dengan segera ketika kejadian kerana bimbang runtuhan itu akan merebak ke seluruh rumah.

"Saya masih lagi di tempat kerja ketika kejadian, isteri telefon kata ada runtuhan di belakang rumah, saya panik dan bergegas pulang. Saya juga maklumkan kejadian terbabit kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar yang segera datang selepas itu.

Artikel Berkaitan:

"Ini kejadian kali pertama dan paling pahit sepanjang saya tinggal di sini sejak berumur 12 tahun. Sebelum ini kawasan belakang rumah hanya hutan simpan, sekarang dah ada projek perumahan, kawasan ini atas bukit jadi kalau ada kerja pengorekan tanah memang beri kesan pada kita,” katanya.

Murthy berkata, mereka turut mengalami kerugian harta benda dianggarkan berjumlah lebih RM50,000 selepas bahagian dapur termasuk stor musnah.

Semalam (Isnin), sekurang-kurangnya enam kediaman di kawasan berkenaan mengalami keretakan dan runtuh didakwa akibat pemendapan tanah susulan hujan lebat sejak petang, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. - Bernama