Kehilangan Ashraf: Hampir 1,000 sertai solat hajat

Solat hajat yang dianjurkan selepas solat Jumaat, hari ini.
A
A

IPOH - Dianggarkan hampir 1,000 jemaah menunaikan solat sunat hajat di Masjid Sultan Idris Shah 2 (Masjid Negeri), hari ini.

Solat sunat hajat yang dilaksanakan sejurus selepas solat Jumaat itu diimamkan oleh Imam Masjid Negeri, Muhammad Ali Mohamad Noh.

Difahamkan, solat hajat berkenaan dianjurkan sebagai usaha bagi memohon petunjuk daripada ALLAH SWT berhubung kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan Acap: Bomba gabung kepakaran, pengalaman

ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan Ashraf: Polis buka kertas siasatan

Mohammad Ashraf yang bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar, Johor disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meski pun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25km.

Sementara itu, Imam Masjid Sultan Idris Shah 2 (Masjid Negeri), Muhammad Ali Mohamad Noh berkata, jika masih tidak bertemu Ashraf, solat hajat ini akan diteruskan.

Muhammad Ali berkata, setakat ini masih belum ada sebarang petunjuk berhubung kehilangan pemuda berasal dari Muar, Johor itu.

Muhammad Ali memimpin bacaan doa sempena solat hajat berkenaan.
Muhammad Ali memimpin bacaan doa sempena solat hajat berkenaan.

Justeru menurutnya, solat hajat yang dianjurkan itu diharap dapat membantu untuk sekurang-kurangnya memberikan petunjuk berhubung kehilangan Mohammad Ashraf.

"Setakat ini memang blank. Langsung tak ada petunjuk (kehilangan Ashraf).

"Jadi kita mohon petunjuk daripada ALLAH SWT, mudah-mudahan Ashraf dapat ditemui," katanya.

Difahamkan, semua surau serta masjid di negeri ini diarahkan untuk melaksanakan sokat hajat berkenaan, selepas solat Jumaat hari ini.

Muhammad Ali mengakui ada menyebut nama Ashraf ketika memimpin bacaan doa setelah selesai solat hajat berkenaan.

"Kita sebut nama dia, minta keluar dari alam ghaib sebab sampai sekarang (berita ini ditulis) masih tak ada apa-apa petunjuk," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia