Benang emas, amanah dua generasi

Nor Faizatol bersama ibunya, Azizah yang memberi inspirasi pengkibatannya dalam dunia tekat.
Nor Faizatol bersama ibunya, Azizah yang memberi inspirasi pengkibatannya dalam dunia tekat.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Setiap helai benang emas yang disulam bukan sekadar hiasan, sebaliknya menyimpan cerita, ingatan dan amanah yang dipikul dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Di sebuah bengkel kecil di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, kilauan itu terus hidup, bukan sahaja pada kain baldu, tetapi pada jiwa seorang anak yang membesar dalam irama jarum dan benang.

Bagi Nor Faizatol Fazleha Mohd Rasdi, 42, seni tekatan bukan warisan yang dipaksa atau dipilih secara kebetulan. Ia hadir perlahan-lahan, tumbuh bersama usia, bermula daripada rasa ingin tahu seorang anak yang sering memerhati ibunya, Azizah Adam, 66, menyulam benang emas dengan penuh ketelitian dan sabar.

Azizah yang berpengalaman hampir 48 tahun dalam memartabatkan seni tekat menerima pengiktirafan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas pada tahun 2023.

“Masa kecil-kecil dulu, saya suka tengok ibu saya menjahit. Bila tinggal sekejap, saya pun curi-curi jahit. Minat tu sebenarnya dah ada, cuma masa tu kita tengok saja,” katanya.

Azizah yang berpengalaman hampir 48 tahun dalam memartabatkan seni tekat menerima pengiktirafan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas pada tahun 2023.
Azizah yang berpengalaman hampir 48 tahun dalam memartabatkan seni tekat menerima pengiktirafan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas pada tahun 2023.

Anak kedua daripada empat beradik itu mewarisi seni halus berkenaan tanpa sebarang desakan.

Minatnya mula berputik dengan lebih jelas ketika cuti semester pengajian apabila Kraftangan Malaysia Cawangan Perak menganjurkan kelas selama tiga bulan di bengkel ibunya. Di situlah, seni tekat tidak lagi sekadar tontonan, tetapi menjadi pengalaman yang membentuk arah hidupnya.

Artikel Berkaitan:

Perjalanan Nor Faizatol sebagai penyambung warisan menuntut pengorbanan besar, termasuk meninggalkan kerjaya tetap sebagai penjawat awam.

“Saya masih ingat sekitar tahun 2010, saya buat keputusan besar untuk berhenti kerja. Sampai sekarang, inilah sumber rezeki saya,” katanya dengan nada tenang tetapi sarat keyakinan.

Menurut Nor Faizatol, suatu ketika dahulu seni tekat begitu sinonim dengan istana dan majlis perkahwinan eksklusif, penuh adat serta terikat pada tradisi lama. Namun, seiring perubahan zaman, warisan seni halus itu tidak seharusnya dibiarkan terkurung dalam bingkai masa silam. Sebagai generasi baharu, beliau mengambil langkah berani mengembangkan seni tekat agar terus relevan.

Daripada hiasan adat, seni tekat kini diperluas ke atas sejadah, beg tangan, kulit buku, cenderamata eksklusif serta aksesori kecil seperti rantai kunci dan dompet. Malah, daripada baldu tradisional merah, hitam dan hijau, beliau turut bereksperimen menggunakan kain songket, tenunan dan kanvas.

“Walaupun sekarang hasil seninya semakin meluas, saya masih mengekalkan kaedah tekatan tradisional. Masih menggunakan tangan,” katanya.

Beliau berkata, keunikan tekat benang emas terletak pada penggunaan kain baldu serta benang emas yang diimport khas dari Jerman, Korea dan China. Peralatan tradisional seperti pemidang dan mempulur juga masih dikekalkan, menjadikan setiap tekatan sebagai objek seni yang memiliki cerita tersendiri.

Setiap tekat yang dihasilkan menggunakan motif bunga dan tumbuhan yang mencerminkan identiti serta sejarah masyarakat Melayu.

“Motif popular dan paling disukai ialah bunga kekwa dan kerawang pucuk paku. Bunga padi dan bunga raya juga antara jadi pilihan,” katanya.

Daripada hiasan adat, seni tekat kini diperluas di atas sejadah, beg tangan, kulit buku, cenderamata eksklusif hinggalah aksesori kecil seperti rantai kunci dan dompet.
Daripada hiasan adat, seni tekat kini diperluas di atas sejadah, beg tangan, kulit buku, cenderamata eksklusif hinggalah aksesori kecil seperti rantai kunci dan dompet.

Penyambung warisan

Katanya, corak ringkas hanya mengambil masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan, manakala hasil berskala besar seperti pelamin atau tikar langkat memerlukan tempoh berbulan-bulan, malah boleh mencecah sehingga enam bulan.

Detik paling manis buat Nor Faizatol adalah apabila berpeluang membantu ibunya menghasilkan tekat benang emas untuk kegunaan diraja.

Mereka menghasilkan tekat untuk Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, termasuk tikar langkat istiadat, selain diberi amanah menghasilkan alas dulang alat kebesaran semasa Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim.

Di sebalik pencapaian itu, Nor Faizatol sedar tanggungjawab sebenar sebagai penyambung warisan jauh lebih besar.

Nor Faizatol berimpian untuk membuka akademi tekatan sendiri suatu masa nanti.
Nor Faizatol berimpian untuk membuka akademi tekatan sendiri suatu masa nanti.

Sejak 2019, beliau aktif berkongsi ilmu sebagai tenaga pengajar kepada pelajar, pegawai penjara serta banduan lelaki dan wanita, selain terlibat dalam pembangunan modul Pendidikan Seni Visual.

“Bila generasi muda didedahkan dari awal, kita nampak seni ini masih ada harapan,” katanya.

Di sebalik kesibukan mengurus tempahan dan mengajar, Nor Faizatol menyimpan impian besar untuk menubuhkan sebuah akademi khas seni tekat.

“Saya harap satu hari nanti dapat buka akademi khas untuk tekat. Kita lahirkan lebih ramai usahawan tekat supaya seni ini tidak mati,” katanya penuh harapan.

Ringkasan AI

  • Nor Faizatol Fazleha Mohd Rasdi mewarisi seni tekat benang emas dari ibunya tanpa paksaan dan mengembangkannya menjadi sumber rezeki
  • Azizah Adam, ibu Nor Faizatol, dianugerahkan sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas pada tahun 2023 setelah hampir 48 tahun memartabatkan seni tekat
  • Seni tekat yang dulunya terhad pada penggunaan dalam istana dan majlis perkahwinan kini diperluas ke aplikasi modern seperti sejadah dan aksesori
  • Teknik pembuatan tekat masih kekal menggunakan kaedah tradisional dengan bahan-bahan berkualiti seperti benang emas import dan kain baldu
  • Nor Faizatol berhasrat untuk membuka akademi khas seni tekat dengan tujuan melahirkan lebih ramai usahawan tekat untuk memastikan seni ini terus relevan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!