Neutral karbon 2050: METO sediakan input untuk Malaysia

La Camera - Foto Bernama
La Camera - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini untuk membangunkan Malaysia Energy Transition Outlook (METO) bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon menjelang 2050.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, Ketua Pengarah IRENA Francesco La Camera berkata, METO yang dijadual diterbitkan tahun depan, akan menyediakan input yang lebih spesifik serta menggariskan cara untuk mempercepatkan usaha Malaysia bebas daripada bahan api fosil.

Dilaporkan bahawa 80 peratus negara di dunia adalah pengimport bersih bahan api fosil, termasuk Malaysia.

La Camera berkata, pertumbuhan permintaan tenaga di Malaysia diunjurkan meningkat dua kali ganda menjelang 2050, manakala dalam sektor tenaga, tenaga boleh diperbaharui dijangka mencapai 70 peratus daripada kapasiti tenaga, mencapai 51 peratus penjanaan tenaga boleh diperbaharui boleh ubah menjelang 2050.

Beliau berkata, solar fotovoltan (PV) dan tenaga hidro akan menjadi teknologi utama bagi pecutan kuasa tenaga boleh diperbaharui di Malaysia iaitu pelaburan tenaga boleh diperbaharui bernilai AS$30 bilion diperlukan dalam dekad akan datang dan 67 peratus tenaga boleh diperbaharui baharu akan tertumpu di Semenanjung Malaysia.

"Juga penggunaan tahunan Solar PV 1.6 Gigawatt (GW) diperlukan pada tahun 2030. Langkah teknologi utama termasuk mempercepatkan pengambilan kenderaan elektrik di samping infrastruktur dan rantaian bekalannya, mengembangkan program biobahan api semasa dan membuka laluan untuk pengeluaran hidrogen hijau," tambahnya.

IRENA juga menganggarkan pelaburan di Malaysia untuk peralihan tenaga sehingga 2050 menjadi AS$378 bilion, dengan sekitar AS$183 bilion dalam sektor tenaga, grid dan fleksibiliti.

IRENA ialah organisasi antara kerajaan yang menyokong negara dalam peralihan mereka kepada masa depan tenaga yang mampan, dan berfungsi sebagai platform utama untuk kerjasama antarabangsa, pusat kecemerlangan dan repositori pengetahuan dasar, teknologi, sumber dan kewangan mengenai tenaga boleh diperbaharui.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, La Camera berkata, bahawa pelaburan dalam peralihan akan membawa sosioekonomi dan faedah yang ketara kepada negara dan rakyat yang akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkaitan peralihan tenaga dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik.

Beliau berkata, IRENA juga akan menganjurkan forum pelaburan serantau pertamanya di Indonesia selama dua hari untuk menghimpunkan penggubal dasar, syarikat dan pelabur dari ASEAN untuk menjadikan pelaburan boleh diakses dan menyediakan projek boleh diperbaharui di lapangan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan laporan awal kajian METO mengenai senario peralihan tenaga.

Beliau juga berharap laporan akhir METO akan menjadi panduan penetapan hala tuju peralihan tenaga negara sehingga tahun 2050 dan menyumbang secara lebih signifikan terhadap aspirasi negara neutral karbon menjelang 2050.

Malaysia menjadi ahli ke-144 IRENA pada April 2010. - Bernama