'MB Perak tak faham fakta kes' - Mujahid

Mujahid menyifatkan tindakan melancarkan petisyen bagi memohon pengampunan diraja untuk Najib sebagai tidak wajar.
Mujahid menyifatkan tindakan melancarkan petisyen bagi memohon pengampunan diraja untuk Najib sebagai tidak wajar.
A
A
A

IPOH - Pakatan Harapan (PH) Perak menyifatkan tindakan melancarkan petisyen bagi memohon pengampunan diraja untuk Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang digerakkan UMNO negeri sebagai tidak wajar.

Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, keadaan itu menggambarkan seolah Pengerusi UMNO Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad gagal memahami fakta kes yang jelas dikaitkan dengan salah guna kuasa.

"Saya kesal kerana sebagai menteri besar, beliau gagal memahami fakta kes yang dengan jelas dikaitkan dengan dakwaan kukuh pecah amanah dan pengubahan wang haram.

"Warga Perak harus protes atas sikap ini dan menghukum kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak yang jelas gagal menunjukkan teladan dan sikap tegas menentang rasuah dan membentuk kerajaan yang ada maruah dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, sebagai pemimpin utama negeri, Saarani tidak sepatutnya menggambarkan kepada rakyat bahawa beliau membela individu yang telah disabitkan bersalah dalam kes berprofil tinggi.

"Sebelum ini pun beliau ada menyatakan rasa simpati kepada Najib dan di atas alasan inilah beliau menggerakkan petisyen daripada kalangan ahli UMNO untuk mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Pada Ahad, Saarani memaklumkan, UMNO Perak akan melancarkan petisyen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan keampunan kepada Najib.

Badan Perhubungan UMNO Negeri telah diminta mengeluarkan pekeliling supaya dapat dianjurkan kutipan tanda tangan beramai-ramai dalam kalangan ahli.

Artikel Berkaitan: