UMNO Perak mulakan petisyen pengampunan Najib

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - UMNO Perak akan memulakan kutipan petisyen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan keampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Badan Perhubungan UMNO Negeri telah diminta mengeluarkan pekeliling supaya dapat dianjurkan kutipan tanda tangan beramai-ramai dalam kalangan ahli.

"Perak kita mulakan sekarang, secara kebetulan UMNO sedang buat mesyuarat cawangan-cawangan, jadi semasa mesyuarat itu boleh buat kutipan (tanda tangan)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Mesra Bersama Peneroka Felda di Laman Seri Ridzuan di sini pada Ahad.

Menteri Besar Perak itu berkata, petisyen pengampunan untuk Najib seperti disarankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bukanlah satu perkara yang pelik.

Saarani menyantuni komuniti Felda yang hadir sempena Program Mesra Bersama Peneroka Felda di Laman Seri Ridzuan pada Ahad.
Saarani menyantuni komuniti Felda yang hadir sempena Program Mesra Bersama Peneroka Felda di Laman Seri Ridzuan pada Ahad.

Katanya, dalam situasi semasa ini, sudah tentulah penyokong-penyokong parti yang bersimpati dengan keadaan Najib berhasrat untuk memohon perkenan Agong memberi pengampunan.

"Jadi sudah tentulah pihak istana nak tengok berapa ramai orang minta.

Artikel Berkaitan:

"UMNO ada keahlian tiga juta seluruh negara dan di Perak sendiri, lebih kurang 300,000 ahli. Kalau semua yang ada ini buat petisyen yang sama, alangkah baiknya," katanya.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid meminta ahlinya supaya menyokong petisyen pengampunan terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan didenda RM210 juta.

Dalam perkembangan sama, Saarani menyelar kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat negara ini akan kecewa sekiranya Najib dibebaskan daripada hukuman yang dikenakan.

Menurutnya, Ahli Parlimen Langkawi itu sepatutnya sedar bahawa tindakannya sebagai individu bertanggungjawab dalam pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu telah mengecewakan rakyat.

"Ingat rakyat tak kecewakah (ketika itu), rakyat kecewa tetapi waktu itu dia jadi PM (Perdana Menteri). Jadi situasinya sama dan serupa sahaja," katanya.

Pada 16 Mei 2018, Anwar diberikan pengampunan penuh tanpa sebarang syarat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.