Tiga pemilik syarikat didenda RM50,000 kemuka dokumen palsu

Seorang daripada empat tertuduh, Mohamad Asri Sapar (tengah) didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, di sini, pada Isnin.
Seorang daripada empat tertuduh, Mohamad Asri Sapar (tengah) didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, di sini, pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga pemilik syarikat masing-masing didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini, pada Isnin selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat pembersihan di utara tanah air pada 2019.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Roslan Jaafar, 52; Mohd Asri Sapar, 48, dan Mohamad Shamsul Aizat Mohd Salleh, 31, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Hakim turut memerintahkan supaya kesemua tertuduh dipenjara selama 12 bulan sekiranya mereka gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Zamri Mohamad, 53, tidak mengaku bersalah dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan tarikh 26 September depan untuk penyerahan dokumen berkaitan.

Roslan didakwa menggunakan penyata akaun Maybank Syarikat D Hujung Enterprise bagi Oktober hingga Disember 2018, manakala Mohamad Asri dituduh menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun Maybank Islamik Syarikat Itifaq Venture (M) Sdn. Bhd dalam tempoh sama dalam permohonan tender tersebut.

Mohamad Shamsul Aizat pula didakwa menggunakan penyata akaun CIMB atas nama Exeliq Trading and Engineering Sdn. Bhd untuk tempoh sama, sementara Zamri dituduh menggunakan penyata akaun Maybank milik NSZ Arked Entreprise yang palsu bagi memperoleh tender di Wisma Idaman, pada 22 Februari 2019.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Mohamad Asri dan Mohamad Shamsul Aizat masing-masing pada 14 Januari 2019 dan 17 Januari 2019 di Wisma Idaman Sdn Bhd, manakala Roslan dituduh berbuat demikian di lokasi sama antara 11 Februari hingga 5 Mac 2019.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Zamri diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim, manakala tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh kemudian membayar wang denda termasuklah wang jaminan terhadap Zamri di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.