Samun stesen minyak guna penyembur pemedih mata, pen

Antara barangan dirampas daripada suspek yang menyamun sebuah stesen minyak di Pandan Jaya, Ampang Jaya pada Ahad.
Antara barangan dirampas daripada suspek yang menyamun sebuah stesen minyak di Pandan Jaya, Ampang Jaya pada Ahad.
A
A
A

AMPANG - Polis berjaya memberkas seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes samun di sebuah stesen minyak di Pandan Jaya, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 2 petang itu, seorang juruwang didatangi seorang lelaki yang memakai topi serta pelitup muka.

"Suspek meluru masuk ke arah kaunter sebelum menyembur pemedih mata ke arah mangsa dan mengambil beberapa kotak rokok," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, suspek juga mengarahkan mangsa membuka peti wang kaunter sambil mengacukan sebatang pen ke arahnya.

"Mangsa yang ketakutan kemudian menurut arahan suspek lalu mengambil wang tunai kira-kira RM600 sebelum melarikan diri," ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, menurut mangsa, suspek pernah datang untuk meminta pekerjaan di stesen minyak terbabit sebelum ini.

"Susulan itu, kami menahan suspek berusia 27 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 10.30 malam tadi.

"Berdasarkan pandu arah suspek, kami membuat serbuan di sebuah kediaman di Taman Bakti di sini, dan merampas pakaian serta penyembur pemedih mata digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati dua hari sebelum kejadian, suspek pergi memohon kerja di stesen minyak yang disamun berkenaan.

"Semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah dan dadah termasuk dua kes samun berkawan dengan senjata.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis ganja," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan.