Lewandowski terus garang, ledak dua gol bantu Barca

Lewandowski
Lewandowski
A
A
A

PENYERANG Barcelona, Robert Lewandowski terus garang apabila meledak dua gol ketika membantu pasukannya mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Real Valladolid dalam aksi LaLiga di Camp Nou, awal pagi Isnin.

Penyerang kebangsaan Poland itu menjaringkan satu gol pada setiap babak perlawanan tersebut sekali gus menyamai bilangan jaringan yang dilakukannya pada perlawanan minggu lalu ketika membantu Barcelona menewaskan Real Sociedad 4-1.

Selain Lewandowski, Pedri dan Sergi Roberto turut berada dalam senarai penjaring pada perlawanan untuk memastikan rekod tanpa kalah Barcelona musim ini kekal.

“Mempunyai Lewandowski dalam pasukan adalah satu rahmat. Dia adalah pemain contoh dan sentiasa merendah diri selain individu yang bekerja untuk pasukan serta banyak membantu kakitangan kejurulatihan.

“Kehadiran Lewandowski menghadirkan perubahan positif buat pasukan. Dia adalah pemain yang luar biasa,” kata ketua jurulatih, Barcelona Xavi.

Xavi turut memuji aksi ditampilkan tonggak pertahanan barunya, Jules Kounde yang melakukan debut pertamanya bersama pasukan.

“Meskipun bermain di posisi yang bukan menjadi kebiasaan buat dirinya, namun dia berjaya menyesuaikan diri dengan cepat.

“Malah saya berasakan dia seorang pemain pertahanan yang versatil dan mampu bermain di mana-mana posisi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: