Ronaldo bersujud selepas ledak gol kemenangan Al Nassr

Ronaldo bersujud selepas meledak gol kemenangan Al Nassr sambil dikelilingi rakan sepasukan.
Ronaldo bersujud selepas meledak gol kemenangan Al Nassr sambil dikelilingi rakan sepasukan.
A
A
A

CRISTIANO Ronaldo bangga melihat perjuangan Al Nassr ketika melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Al Shabab dalam saingan Liga Pro Arab Saudi di Stadium Al Awal Park, pada Rabu.

Ronaldo menjaringkan gol kemenangan Al Nassr pada minit ke-59 sekali gus mengekalkan peluang pasukan itu dalam perebutan kejuaraan liga.

"Saya sangat gembira. Pasukan memberikan permainan yang hebat. Ketinggalan dua gol adalah situasi yang sangat sukar, tetapi kami yakin sehingga tamat permainan dan boleh menjaringkan tiga gol.

"Jadi, tahniah kepada semua orang dalam pasukan, peminat juga luar biasa hari ini dan kami sangat gembira," kata Ronaldo.

Bukan sahaja gol Ronaldo menjadi tumpuan, malah sambutan gol pemain berusia 38 tahun itu juga meraih perhatian apabila menukar sambutan yang biasa dilakukannya iaitu 'siuuu' kepada sujud.

Kebiasaannya, cara meraikan gol sebegitu hanya dilakukan oleh pemain bola sepak beragama Islam termasuk bintang Liverpool Mohamed Salah.

Ronaldo turut menyatakan kepercayaannya bahawa Liga Pro Saudi akan menjadi salah satu liga bola sepak terbaik di dunia.

"Kami jauh lebih baik. Saya rasa Liga Saudi semakin baik dan musim depan akan lebih baik. Secara beransur-ansur liga ini akan menjadi lima liga terbaik dunia.

"Tetapi segala-galanya memerlukan masa, ia memerlukan pemain yang bagus dan infrastruktur. Tetapi saya pasti negara ini mempunyai potensi yang sangat besar dan liga ini akan menjadi luar biasa," katanya.