Dua gol Martinez bantu Inter julang Piala Itali

Pemain Inter Milan meraikan kejayaan menjulang Piala Itali. - Foto AFP
Pemain Inter Milan meraikan kejayaan menjulang Piala Itali. - Foto AFP
A
A
A

DUA gol daripada Lautaro Martinez menyaksikan Inter Milan berjaya melakar kebangkitan menewaskan Fiorentina 2-1 di Stadio Olimpico untuk mengekalkan kejuaraan Piala Itali.

Fiorentina mendahului menerusi Nicolas Gonzales seawal minit ketiga sebelum Martinez meledak dua gol pada minit ke-29 dan ke-37 untuk memastikan kemenangan Inter.

"Kami bermula dengan teruk dan melakukan pendekatan yang salah, tetapi pemain berjaya bertahan dan kemudian mengubah corak permainan.

"Saya gembira kerana kami memenangi piala yang kami mahu dan mengulangi apa yang kami lakukan musim lalu. Fiorentina adalah pasukan berkualiti yang menyebabkan kami berdepan banyak masalah," katanya.

Inter mengharungi musim yang agak berjaya dengan mengekalkan kejuaraan Piala Itali dan Piala Super Itali selain mara ke final Liga Juara-Juara bulan depan menentang Manchester City.

"Kami mempunyai dua perlawanan terakhir Serie A, kemudian Istanbul (menentang City) dan kami mahu teruskan musim yang hebat ini," katanya.

Dalam pada itu, Martinez gembira dua gol yang dihasilkannya itu berjaya memastika trofi tersebut kekal di San Siro.

"Sejujurnya saya terharu kerana selama beberapa tahun kami telah membawa trofi kepada kelab hebat ini dan kami mesti terus mengekalkannya.

"Saya sangat gembira untuk membawa trofi ini kembali ke Milan, atau lebih tepatnya menyimpannya di sana memandangkan ia adalah milik kami tahun lepas," katanya.