Terima kasih Aaron-Wooi Yik

Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Ahad. - Foto BADMINTON PHOTO
Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Ahad. - Foto BADMINTON PHOTO
A
A
A

KEJAYAAN beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar sejarah mengakhiri penantian gelaran sulung negara untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung di Tokyo, Jepun disifatkan sebagai hadiah paling bermakna untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kemenangan itu juga menamatkan penantian selama 45 tahun skuad badminton negara untuk merangkul gelaran berkenaan.

Lebih manis, kemenangan di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu juga secara tidak langsung menjadi hadiah buat Malaysia yang bakal menyambut Hari Kebangsaan 2022 pada Rabu ini.

Kejayaan membanggakan itu diraih setelah mereka menewaskan juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada pertarungan straight set 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit.

Kemenangan itu juga adalah keempat buat Aaron-Wooi Yik dalam 11 pertembungan dengan gandingan Indonesia yang diberikan jolokan The Daddies kerana sebelum ini pernah meraih gelaran pada 2013, 2015 dan 2019.

Rata-rata laman sosial pada Ahad juga dipenuhi dengan ucapan tahniah dan terima kasih yang ditujukan khas buat seluruh kem badminton negara terutamanya kepada pasangan beregu emas negara itu.

Turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Aaron dan Wooi Yik ialah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain itu, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut tidak melepaskan peluang untuk menzahirkan kegembiraan atas kemenangan pasangan beregu negara itu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi catatan di Faceboooknya, Chong Wei menyifatkan kejayaan yang dikecapi Aaron dan Wooi Yik yang muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia bagaikan kisah dogeng yang akhirnya menjadi kenyataan.

Di sebalik kejayaan yang dilakar pasangan beregu badminton negara ini jelas membuktikan bahawa semangat dan kesungguhan mengatasi segala-galanya, meskipun di atas kertas lawan dilihat memiliki kelebihan.

Perkara itu dibuktikan Aaron dan Wooi Yik apabila berjaya mengenepikan pasangan beregu Indonesia yang berada di rangking ketiga dunia berbanding mereka yang berada di rangking keenam sebelum ini.

Semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh pasangan emas negara itu diharap mampu menjadi pembakar semangat buat semua atlet negara untuk tidak cepat menyerah kalah, walaupun berdepan dengan lawan yang dilihat jauh lebih hebat.

Besar harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat prestasi Aaron dan Wooi Yik terus mantap dan mencipta lebih banyak kemenangan pada masa akan datang.

Terima kasih juga buat pasangan badminton negara ini yang memberi hadiah paling bermakna selepas beberapa hari lalu negara berdepan dengan pelbagai berita ‘kurang menggembirakan’. Kamu wira kami!