Aaron-Wooi Yik rangkul kejuaraan dunia

Aaron (kanan) dan Wooi Yik muncul juara dunia setelah menewaskan Ahsan-Hendra 21-19, 21- pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun pada Ahad. - Foto Agensi.
Aaron (kanan) dan Wooi Yik muncul juara dunia setelah menewaskan Ahsan-Hendra 21-19, 21- pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun pada Ahad. - Foto Agensi.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PASANGAN badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memahat sejarah apabila mengakhiri penantian gelaran sulung negara untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia di Jepun pada Ahad.

Kejayaan membanggakan itu diraih setelah mereka menewaskan juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada pertarungan straight set 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit.

Kemenangan itu juga adalah keempat buat Aaron-Wooi Yik dalam 11 pertembungan dengan gandingan Indonesia yang diberikan jolokan The Daddies kerana sebelum ini pernah meraih gelaran pada 2013, 2015 dan 2019.

Lebih manis, kemenangan di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu secara tidak langsung menjadi hadiah paling bermakna buat negara yang bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-65 Rabu ini.

Setelah menamatkan badi separuh akhir selepas mengalahkan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, momentum itu menyuntik semangat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk memburu kejuaraan dunia buat kali pertama.

Ahsan, 35, dan Hendra yang mencecah usia 38 tahun terlebih dahulu mendominasi set pertama apabila mengutip mata demi mata menjauhkan kedudukan mereka dengan pasangan negara.

Bagaimanapun, ketenangan yang dipamerkan Aaron, 25, dan Wooi Yik, 27, serta mengambil nasihat pengendali beregu negara, Rexy Mainaky, mereka mengejar mata untuk memastikan kemenangan 21-19 set pertama.

Momentum kemenangan tersebut diteruskan Aaron-Wooi Yik dalam permulaan set kedua sambil Ahsan yang gagal membalas pukulan dengan cemerlang membuka ruang buat pasangan negara mengutip mata.

Artikel Berkaitan:

Saat yang didambakan peminat sukan tanah air tiba apabila Aaron-Wooi Yik berjaya menoktahkan kemenangan 21-14 sekali gus bergelar juara dunia pertama dari Malaysia.

Kali terakhir pasangan Malaysia mara ke final beregu lelaki Kejohanan Dunia ialah pada 2010 iaitu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, namun dikecewakan gadingan dari China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-18, 18-21, 21-14 di Paris, Perancis.

Sebelum ini pencapaian terbaik Malaysia adalah meraih perak masing-masing menerusi acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki.