Dulu bau minyak wangi, sekarang minyak urut

BILA usia dah masuk 40 tahun, badan mula beri signal. Kalau dulu boleh pusing pusat beli-belah sampai berjam-jam, sekarang bila dah jumpa barang terus nak keluar sebab mula tak larat nak jalan.
Penulis sendiri dah mula dapat rasa perubahan dalam diri. Kudrat sudah tidaklah sekuat dulu, pinggang pun dah mula rasa sakit bila duduk terlalu lama. Dua minggu lepas ketika penulis membasuh bilik air, secara tiba-tiba terasa pinggang ditarik. Terus terbaring tidak boleh buat apa. 15 minit jugalah terpaksa ‘bertapa’ dalam bilik air sebab sakit yang teramat sangat. Nak jerit pun tak daya sebab terlalu sakit. Malam itu bermulalah bau minyak urut satu bilik.
Jika dulu gelakkan suami sebab dia dah mula pakai minyak urut sebelum tidur, sekarang suami pula perli beritahu dulu bau minyak wangi, sekarang bau minyak urut.
Betullah orang cakap kehidupan bermula ketika usia 40 tahun. Ia sering dianggap sebagai fasa kematangan dalam kehidupan, namun bagi sesetengah individu, tempoh ini turut menandakan bermulanya perubahan fizikal yang semakin ketara.
Perubahan itu sebahagiannya berkaitan proses penuaan semula jadi apabila jisim otot dan ketumpatan tulang boleh berkurangan, manakala metabolisme serta keupayaan tubuh untuk pulih daripada keletihan turut berubah.
Namun, tidak semua kesakitan boleh dianggap perkara biasa. Tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi juga boleh berkembang tanpa gejala jelas, sekali gus meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok jika tidak dikesan lebih awal.
Hakikatnya, usia 40 tahun bukanlah petanda seseorang sudah tua, sebaliknya peringatan bahawa kesihatan perlu diberikan perhatian lebih serius.
Antara kesilapan yang selalu dibuat ialah hanya mendapatkan pemeriksaan apabila badan mula sakit.
Sedangkan pemeriksaan kesihatan berkala membolehkan faktor risiko seperti tekanan darah, paras gula dan kolesterol dikenal pasti lebih awal.
Ubah gaya hidup
Langkah pertama untuk kekal sihat ialah menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin, bukannya menunggu masa lapang. Aktiviti mudah seperti berjalan, berbasikal, berenang dan menaiki tangga boleh jadi permulaan. Bagi mereka yang lama tidak bersenam, mulakan secara beransur-ansur mengikut kemampuan dan keadaan kesihatan.
Pemakanan juga perlu dikawal dengan mengutamakan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan sumber protein yang sesuai. Kurangkan pengambilan minuman manis, makanan tinggi garam serta makanan yang kaya dengan lemak tepu.
Dalam masa sama, pastikan tidur mencukupi agar badan boleh bermula segar keesokannya harinya.
Memasuki usia 40 tahun juga masa sesuai untuk menilai semula keutamaan hidup. Jangan terlalu sibuk mencari pendapatan sehingga mengabaikan tubuh yang menjadi modal utama untuk bekerja dan menyara keluarga.
Luangkan masa untuk berjalan, melakukan regangan ketika bekerja, berehat daripada duduk terlalu lama dan menjalani pemeriksaan kesihatan mengikut keperluan.
Dengan pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, tidur berkualiti dan pemeriksaan kesihatan berkala, seseorang masih berpeluang menikmati kehidupan yang aktif dan produktif.
Jangan tunggu sehingga badan benar-benar memberi amaran. Mulakan perubahan ketika masih berpeluang memilih kerana menjaga kesihatan hari ini ialah pelaburan untuk hari tua yang lebih berkualiti.
Penulis pun dah mula beli treadmill dan alatan untuk senaman ringan. Harap semangat penulis nak jalani kehidupan lebih sihat terus konsisten dan tidak biarkan peralatan dibeli berhabuk begitu sahaja.
*Farah Nabila Mohamed Saris ialah penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
