Gaji naik, poket tetap sesak

GAJI masuk setiap bulan, tetapi rasa lega tidak bertahan lama. Belum sempat merancang simpanan, wang sudah berpecah untuk ansuran rumah, kenderaan, bil utiliti, barang dapur dan keperluan anak-anak.
Begitulah realiti sebahagian rakyat hari ini. Kenaikan harga barang dapur beberapa ringgit mungkin nampak kecil, tetapi apabila dihimpunkan, jumlahnya terasa besar.
Persoalannya, jika gaji naik, mengapa masih ramai terpaksa berkira-kira sebelum membeli barang keperluan?
Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan purata gaji dan upah bulanan warganegara meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803, berbanding RM3,652 pada 2024. Penengah gaji turut meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940.
Namun, angka purata tidak bermakna semua pekerja menerima pendapatan sebanyak itu. Penengah RM2,940 menunjukkan separuh daripada penerima gaji memperoleh pendapatan pada atau di bawah paras tersebut.
Tekanan lebih ketara bagi keluarga di bandar. Gaji yang kelihatan munasabah boleh menjadi tidak seberapa selepas ditolak sewa rumah, petrol, tol, parkir dan kos penjagaan anak.
Ada pekerja terpaksa tinggal jauh dari tempat kerja kerana rumah berdekatan tidak mampu dimiliki. Ironinya, sebahagian pendapatan digunakan bagi membiayai kos untuk terus bekerja.
Sebab itu, Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa MASMED Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, ketika ditemu bual Bernama berpandangan, konsep gaji hidup wajar dipertimbangkan bagi membolehkan pekerja menjalani kehidupan bermaruah, mengurangkan tekanan kewangan dan meningkatkan produktiviti.
Belanjawan 2027 mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027.
Kadar permulaan RM2,500 turut diperkenalkan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, manakala penanda aras gaji kehidupan wajar bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meningkat kepada RM3,400 sebulan.
Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut meningkat daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion. Bantuan itu melegakan keluarga yang layak, tetapi pendapatan mencukupi tetap penting untuk menjamin kestabilan kewangan.
Nasihat berjimat cermat memang ada asasnya, tetapi jangan letakkan seluruh beban pada individu.
Bagaimana mahu menyimpan jika pendapatan hampir habis untuk keperluan asas? Bil perubatan atau kerosakan kenderaan sahaja boleh menggugat kewangan keluarga.
Namun, sikap sendiri juga perlu diperiksa. Apabila gaji naik tetapi komitmen turut bertambah, kereta ditukar kepada model lebih mahal dan gaya hidup dinaik taraf demi kelihatan senang, jangan terkejut apabila hujung bulan kembali sesak.
Jika setiap kenaikan pendapatan disambut dengan hutang baharu, itu bukan lagi soal gaji tidak cukup, tetapi keputusan kewangan yang sengaja mengundang masalah.
Kerajaan dan majikan perlu menyediakan peluang pekerjaan bergaji lebih baik, perumahan mampu milik dan pengangkutan awam berkesan. Pekerja pula mesti bijak membezakan keperluan dengan kehendak.
Akhirnya, gaji besar tidak menjamin hidup selesa jika perbelanjaan tidak terkawal. Namun, jangan pula kesilapan mengurus wang dijadikan alasan untuk menutup kegagalan menangani kos sara hidup.
Rakyat tidak meminta hidup mewah, cuma mahu bekerja tanpa terus dihimpit kebimbangan tentang wang.
Gaji naik, poket tetap sesak. Jika realiti ini terus berulang, jangan sekadar berbangga dengan angka kenaikan gaji.
Ukur kejayaan dasar bukan pada berapa banyak pendapatan bertambah, tetapi sejauh mana rakyat mampu membayar keperluan, membina simpanan dan menjalani kehidupan tanpa terus diburu hutang.
*Nurulfatiha Muah ialah pencipta kandungan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
