SMA Makarimul Akhlak perlukan RM4 juta siapkan bangunan baharu

Pelan pembinaan bangunan empat tingkat Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak, Alor Setar. Gambar kecil: Mumtaz Juhdi
Pelan pembinaan bangunan empat tingkat Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak, Alor Setar. Gambar kecil: Mumtaz Juhdi
A
A
A

ALOR SETAR - Sekolah Menengah Agama (SMA) Makarimul Akhlak Alor Setar memohon sumbangan wakaf daripada orang ramai untuk membina sebuah bangunan empat tingkat yang menelan belanja sehingga RM4 juta di Jalan Langgar, dekat sini

Pengetua SMA Makarimul Akhlak, Mumtaz Juhdi Mohamad berkata, bangunan yang bakal dibina tersebut mempunyai 11 bilik dan mampu menampung jumlah kapasiti pelajar sehingga 330 orang pada satu-satu masa.

Menurutnya, antara kemudahan disediakan di bangunan tersebut adalah sebuah makmal sains, dewan peperiksaan, pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik mesyuarat dan padang yang mempunyai pelbagai permainan.

"Kami memohon sumbangan dan wakaf dari orang ramai untuk membina bangunan ini. Walau serendah RM10 ia sangat bermakna buat kami," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mumtaz Juhdi berkata, pengurusan sekolah itu sedang menunggu kelulusan daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi fasa seterusnya dan bangunan baharu akan dibina di dalam kawasan sekolah berkenaan.

"Sebagai sebuah sekolah agama rakyat, kami masih perlu memikirkan perbelanjaan lain seperti gaji guru dan bayaran utiliti lain sebanyak RM23,000 sebulan, sebab itu sumbangan daripada masyarakat dialu-alukan.

"75 peratus pelajar sekolah ini adalah golongan asnaf manakala selebihnya adalah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) daripada seluruh negara.

"Sumbangan luar diperlukan untuk membantu melancarkan pengurusan 209 pelajar, 13 guru dan lima kakitangan. Ramai pelajar di sini yang tidak mampu membayar yuran bulanan sehingga ada yuran yang tertunggak sehingga bertahun-tahun," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Bagi mereka yang mahu menyumbang pembinaan bangunan baharu boleh hubungi Mumtaz Juhdi di talian 0135920934 atau melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad, 02075010061378 (Tabung Fasa 2 Makarimul Akhlak).

Dalam perkembangan lain, sekolah tersebut menerima sumbangan sebuah van penumpang bernilai RM135,000 daripada Etiqa untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pelajar untuk aktiviti luar sekolah.

Sumbangan van penumpang muatan 15 tempat duduk itu adalah untuk mengantikan van uzur yang berusia 30 tahun dan dikhuatiri mendatangkan risiko keselamatan para pelajar yang menggunakannya untuk perjalanan jarak jauh.

Majlis simbolik penyerahan van disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim dan hadir sama Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah selaku wakil rakan strategik badan bukan kerajaan.