Jalan ke Padang Kota Lama ditutup bermula tengah malam ini

Soffian menunjukkan jalan-jalan yang akan ditutup secara berperingkat bermula tengah malam pada Isnin.
Soffian menunjukkan jalan-jalan yang akan ditutup secara berperingkat bermula tengah malam pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa jalan di kawasan pulau di negeri ini akan ditutup sementara secara berperingkat bermula tengah malam Isnin sehingga petang pada 31 Ogos bagi memberi laluan kepada persediaan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 Peringkat Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penutupan tersebut melibatkan beberapa jalan menuju ke Padang Kota Lama antaranya Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Lebuh Light, Jalan Pengkalan Weld dan Lebuh Pantai.

Menurutnya, polis akan membuat lencongan kenderaan secara berperingkat di laluan dikenal pasti sekiranya berlaku kesesakan jalan raya yang teruk berikutan pihaknya menjangkakan lebih 10,000 pengunjung termasuk peserta akan hadir pada sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.

"Untuk acara raptai yang akan diadakan pada Isnin, jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Tun Syed Sheh Barakbah. Jalan akan ditutup bermula persimpangan masuk Dewan Sri Pinang, Lebuh Light (kenderaan akan dilencongkan Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Leith), Jalan Pengkalan Weld dan Lebuh Pantai.

"Semua jalan akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bermula jam 12.01 tengah malam ini (Isnin) sehingga 2 petang esok atau selepas raptai penuh perarakan selesai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Ahad.

Kata beliau, bagi acara raptai tersebut, seramai 116 pegawai dan anggota polis dibantu beberapa agensi lain terlibat dalam penugasan itu.

"Bagi hari Selasa iaitu 30 Ogos pula, kita hanya menutup laluan masuk ke Dewan Bandaraya Pulau Pinang di Padang Kota Lama iaitu sama ada melalui Jalan Tun Syed Sheh Barakbah atau Lebuh Light bermula jam 12.01 tengah malam hingga 12.59 malam untuk raptai penuh persembahan.

"Untuk hari sambutan sebenar iaitu pada Rabu, jalan yang ditutup adalah Lebuh Farquhar/Lebuh Light, Jalan Pengkalan Weld dan Lebuh Pantai yang akan ditutup bermula jam 12.01 tengah malam hingga 2 petang atau selepas upacara perarakan selesai," katanya.

Mengulas lanjut katanya, perkhidmatan feri penumpang di Terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT) akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh 29 hingga 31 Ogos dan orang ramai di seberang yang mahu menyaksikan sambutan tersebut digalakkan menggunakan perkhidmatan feri penumpang bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Artikel Berkaitan:


"Perkhidmatan bas Rapid Penang dari SPCT ke Stesen Bas Rapid Pengkalan Raja Tun Uda (PRTU) tidak disediakan pada Isnin dan Rabu.

"Bagaimanapun, Rapid Penang akan menyediakan perkhidmatan bas percuma dari terminal bas di Komtar ke PRTU. Orang ramai kemudiannya boleh berjalan kaki kira-kira 500 hingga 600 meter ke Padang Kota Lama," kata Soffian.

Menurutnya, seramai 276 anggota polis serta petugas agensi lain terlibat dalam penugasan pada 31 Ogos bagi memastikan acara tersebut berjalan lancar.

"Sebanyak 81 kontinjen membabitkan 4,800 orang dan 27 kontijen kenderaan melibatkan 665 buah kenderaan dengan seramai 769 orang terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan tersebut," katanya.

Dalam masa sama, pihaknya turut menasihatkan orang ramai merancang perjalanan bagi memastikan mereka tidak terperangkap dalam kesesakan jalan raya selain mengenal pasti laluan-laluan yang akan ditutup pada tarikh berkenaan.